Syarikat induk KTM, Pierer Mobility AG secara rasmi mengesahkan telah menjual 50.1 pegangan majoritinya dalam MV Agusta kepada keluarga Sardarov.
Ia adalah sebahagian daripada masalah kewangan berterusan yang dihadapi KTM, yang mana baru-baru ini syarikat memfailkan permohonan prosiding penstrukturan semula kehakiman dengan pentadbiran sendiri.
Perkongsian pegangan itu dijual kepada pemegang saham minoriti, Art of Mobility S.A, sebuah syarikat milik keluarga Sardarov.
Berdasarkan kenyataan media Pierer Mobility, urus niaga itu dijangka selesai pada separuh tahun pertama 2025 dengan nilai pembelian ‘julat pertengahan dua digit juta.’
Ketua Pegawai Eksekutif Art of Mobility, Timur Sardarov berkata ia adalah hari yang membanggakan buat mereka di MV Agusta.
“Mendapatkan semula kawalan penuh ke atas syarikat bermakna kami kini lebih kuat dan lebih fokus berbanding sebelum ini agar lebih cemerlang.
“Sejak dua tahun lalu, syarikat telah memperkukuhkan proses, sistem dan tenaga kerjanya dengan ketara.
“Perubahan struktur ini adalah asas kepada keputusan luar biasa yang dicapai pada tahun 2024 dan akan terus memacu kejayaan kami pada tahun-tahun akan datang.
“Saya yakin penuh terhadap pasukan kepimpinan kami, yang visinya digabungkan dengan dedikasi dan profesionalisme rangkaian pengedar kami yang diperbaharui, akan membawa MV Agusta ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
MV AGUSTA JUAL 4,000 MOTOSIKAL TAHUN LALU
Menurut MV Agusta, kesemua 219 pengedar global dan 41 pusat servis mereka akan meneruskan perniagaan seperti biasa. Bilangan peniaga juga diramal meningkat kepada 270 menjelang akhir 2025.
Sepanjang 2024, syarikat itu menjual 4,000 motosikal dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 116 peratus berbanding 2023.
Awal tahun lalu KTM memperoleh 50.1 peratus kepentingan dalam MV Agusta. Syarikat asal Austria itu membeli 25.1 peratus pegangan dalam MV Agusta pada November 2022 serta turut mengambil alih rantaian bekalan dan pembelian MV Agusta pada 2023.
Kemudian, KTM membeli 25 peratus kepentingan semula, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Mengikut rancangan tempoh pertengahan KTM, kapasiti 10,000 motosikal telah dirancang di kilang syarikat itu di Varese.
Kini dengan krisis kewangan, MV Agusta digugurkan daripada portfolio KTM dan pengeluaran akan kembali ke Itali. MV Agusta kini merupakan sebuah syarikat bebas yang berpangkalan di Itali.