Perselisihan faham dalam rumah tangga menjadi punca kejadian sebuah Toyota Vios disimbah petrol sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta Johor Bahru, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian khianat itu dilakukan sendiri lelaki yang juga suami kepada pemilik kereta tersebut sehingga wanita itu mengalami kerugian hampir RM90,000.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suaminya yang berusia 25 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap isterinya yang berusia 21 tahun selepas berlaku salah faham dalam rumah tangga.
“Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di jalan tersebut, kejadian berlaku pada jam 10.20 malam.
“Suspek tiba-tiba muncul dengan menaiki Toyota Vellfire menyekat kereta yang dinaiki isterinya bersama dua wanita lain serta seorang lelaki.
“Suspek bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta sebelum lari dengan Toyota Vellfire,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raub berkata, susulan kejadian itu kereta Toyota Vios itu terbakar 80 peratus dan wanita itu tampil membuat laporan di Balai Polis Majidee.
Polis giat mengesan lelaki tersebut bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membuat laporan atau menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.