Baru-baru ini, sebuah pesawat Air Busan terbakar sebelum berlepas yang berpunca daripada power bank penumpang yang diletakkan di ruang simpanan bagasi dalam kabin.
Akibat kebakaran berkenaan, pesawat mengalami kerosakkan teruk dan penumpang dipindahkan menerusi gelonsor kecemasan.
Sebanyak 169 penumpang dan tujuh pramugari dipindahkan ke tempat selamat manakala tujuh individu cedera dalam kejadian itu.
Punca kejadian disyaki daripada power bank rosak yang mencetuskan kebakaran pesawat Airbus A321 ke Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae.
Susulan kejadian itu, syarikat penerbangan sedang dalam proses menguatkuasakan notis keselamatan mengenai elektronik dan power bank dengan bateri litium-ion.
Air Busan mula menghantar mesej mengarahkan penumpang membawa power bank dalam beg plastik sehari sebelum menaiki pesawat, kata syarikat penerbangan pada Isnin.
Syarikat penerbangan bajet itu juga meletakkan sepanduk dan notis tambahan yang mana penumpang perlu menyimpan telefon dan power bank bersama mereka, berbanding menyimpannya di rak atas.
Setiap penumpang dibenarkan membawa sehingga lima bateri dengan kapasiti maksimum 100 watt. Power bank dengan kuasa antara 100 watt dan 160 watt memerlukan kelulusan syarikat penerbangan terlebih dahulu, dan biasanya terhad kepada dua orang.
Seorang profesor kejuruteraan yang bersara, Lo Kok-keung berkata jika berlakunya litar pintas, power bank boleh menghasilkan suhu tinggi dan membakar bahan dalaman lalu mencetuskan api yang boleh membakar pakaian di dalam bagasi.
“Penumpang juga harus memeriksa power bank mereka untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik dan elak menggunakan yang lama ke dalam pesawat.
“Penebat dalaman atau wayar di dalam bank kuasa lama boleh haus dari semasa ke semasa, yang boleh menyebabkan litar pintas,” katanya.