Seorang penunggang berusia 30-an maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas, dipercayai terlanggar lubang di permukaan jalan yang rosak berhampiran Jejambat Lido, Jalan Lintas, Kota Kinabalu, pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi mengenai kejadian tersebut, sebelum anggota polis tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya berdasarkan siasatan awal, mangsa yang dalam perjalanan dari arah City Mall menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai telah melanggar lubang di lorong tengah jalan sebelum terbabas ke hadapan sejauh enam meter di atas jalan raya.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 1.35 tengah hari ketika sedang menerima rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.