Hasrat Audi untuk mewujudkan satu sistem skema penamaan yang spesifik untuk model kenderaan elektrik nampaknya tidak bertahan lama.
Ia mula diperkenalkan pada Mac 2023 sebagai satu cara untuk membezakan penawaran model sedia ada, di mana EV akan menggunakan sistem angka genap dan model ICE pula menggunakan nombor ganjil.
Berbanding sistem yang telah digunakan sebelum ini, format baharu nyata mengelirukan kebanyakan pembeli di seluruh dunia.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, Audi akhirnya akur dan bersetuju untuk mengubah semula kepada format asal, di mana nombor yang lebih besar meruju kepada segmen kenderaan yang lebih besar dan sebaliknya.
Sementara model EV pula akan mengikut format nombor yang sama (tidak semestinya nombor genap) dan diakhiri dengan penambahan “e-tron”.
Ini bukanlah kali pertama Audi menimbulkan kekacauan dalam sistem penamaan model kenderaan mereka.
Pada tahun 2017, pengeluar itu menggantikan penggunaan skema sedia ada seperti 3.0 TFSI dan 2.0 TDI kepada format yang lebih ringkas seperti 40 TDI dan 55 TFSI yang merujuk kepada julat output yang dihasilkan oleh sesebuah model.
Sayang sekali, setelah tujuh tahun format nombor tersebut perlahan-lahan lenyap pada model-model elektrik, di mana Q6 e-tron merupakan model pertama Audi yang tidak lagi mengguna pakai format tersebut.