Persaingan sengit jenama automotif China seperti Chery, Jaecoo dan BYD memberi tekanan ketara kepada Bermaz Auto Bhd (BAuto), dengan penurunan dalam pegangan pasaran Mazda di Malaysia sepanjang 2024.
Menurut CGS International, jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual (TIV) di Malaysia meningkat sebanyak dua peratus tahun ke tahun pada 2024.
Namun, pegangan pasaran BAuto merosot daripada 2.4 peratus pada 2023 kepada 1.8 peratus tahun lalu, berikutan kejatuhan jualan Mazda sebanyak 24 peratus dalam tempoh itu.
Kelemahan ini dikaitkan dengan peningkatan saingan daripada jenama China yang menawarkan harga lebih kompetitif dalam segmen SUV.
Model seperti Chery Omoda 5, Jaecoo J7 dan BYD Atto 3 yang dijual pada julat harga RM100,000 hingga RM160,000 berjaya menarik lebih ramai pembeli.
Sebagai perbandingan, model terlaris Mazda di Malaysia, CX-5, ditawarkan pada harga antara RM145,000 hingga RM195,000 yang memberi kelebihan kepada pesaing baharu.
Pada masa sama, jenama China semakin kukuh dengan pegangan pasaran mereka meningkat daripada hanya satu peratus pada 2023 kepada 3.5 peratus pada 2024, mengambil bahagian pasaran daripada jenama arus perdana seperti Mazda.
Mengakui cabaran itu, BAuto merancang memperkenalkan lebih banyak model baharu bagi merancakkan jualan separuh kedua 2025.
Baru-baru ini, syarikat itu memperoleh hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia dan akan melancarkan tiga model kenderaan elektrik (EV) daripada jenama itu. Selain itu, model Xpeng G9 dijangka memasuki pasaran tahun ini.
Mazda Malaysia pula merancang untuk memperkenalkan CX-60 pada suku kedua 2025 dan CX-80 pada suku ketiga. Model Xpeng G6 yang mula dijual pada suku keempat 2024 juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jualan kira-kira 120 unit sebulan.
CGS International menjangkakan jualan BAuto akan terus mencabar pada tahun kewangan 2025, terutama pada suku ketiga akibat persaingan sengit. Namun, dengan pelancaran model baharu bermula suku keempat 2025, pendapatan syarikat dijangka pulih pada separuh pertama tahun kewangan 2026.
Antara faktor utama yang boleh meningkatkan semula prestasi saham BAuto termasuk pemulihan jualan dan pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh pada tahun depan. Namun, risiko utama yang boleh menjejaskan syarikat termasuk penurunan kuasa beli pengguna dan peningkatan persaingan daripada jenama China di Malaysia.