Selepas empat hari mengumumkan pelancaran Suzuki Jimny Nomade, syarikat itu menerima sambutan luar biasa dengan 50,000 unit tempahan di Jepun.
Justeru itu, pihak pengeluar terpaksa menutup tempahan buat sementara waktu kerana ia melebihi kapasiti pengeluaran.
Menerusi laman web rasmi, Suzuki Jepun memohon maaf kepada pelanggan.
“Kami memohon maaf kepada pelanggan yang mempertimbangkan untuk membeli Jimny Nomade susulan penangguhan tempahan. Terima kasih kerana berminat dengan produk kami.
“Jimny Nomade diterima dengan sangat baik dan tempahan yang jauh melebihi kapasiti pengeluaran kami.
“Maka, kami akan menangguhkan pesanan buat sementara waktu dan akan mengemas kini pembukaan semula tempahan dengan mengambil kira situasi pengeluaran masa hadapan. Kami memohon maaf atas kesulitan ini.”
Jimny Nomade dipasang di kemudahan Suzuki Gurugram di India dan SUV kompak itu dieksport ke Jepun termasuk Asia Tenggara, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Penampilan Nomade hampir sama dengan Sierra dengan penggayaan comel dan gril depan lima slot.
Apa yang membuatkan ia mendapat permintaan tinggi?, jarak roda Jimny Nomade lebih panjang dan set pintu tambahan menjadikannya off road kompak Suzuki yang lebih praktikal.
Walaupun 340mm lebih panjang daripada versi tiga pintu, panjang Jimny Nomade kekal pada 3,890 mm.
Walaupun Suzuki menyasarkan untuk memenuhi tempahan sedia ada secepat mungkin, masih belum ada garis masa pembukaan tempahan baharu.
Buat masa ini, penghantaran pertama di Jepun disasarkan pada 3 April depan. Sebagai tindak balas kepada permintaan yang sangat menggalakkan, Suzuki turut membatalkan semua acara pameran Jimny Nomade di Jepun.