Seorang mekanik maut selepas terlanggar tayar ganti sebuah trak pikap Toyota Hilux dalam kemalangan di KM232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pedas tengah malam Rabu.
Kemalangan yang berlaku pada jam 12.20 tengah malam itu melibatkan lima kenderaan dan menyebabkan empat lagi mangsa cedera.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan itu melibatkan Honda CBR ditunggang mangsa, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, bas, lori muatan habuk kayu mampat, Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, bas itu telah melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BAS LANGGAR BELAKANG LORI
Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan, Toyota Hilux dan kereta BMW yang berada di belakang laluan sama iaitu lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bas tersebut.
“Selepas perlanggaran tersebut, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan.
“Kemalangan telah menyebabkan lorong kanan arah utara dan arah selatan ditutup,” katanya.
Shaik Abd Kadar berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan maut oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
Sementara itu, empat lagi mangsa mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Rembau dan pemandu bas yang berusia 36 tahun dihantar ke Hospital Alor Gajah Melaka untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau dan bedah siasat akan dilakukan pada pagi ini bagi mengetahui punca kematian.
“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.