Lima keluarga nyaris maut, Myvi terbakar

12

Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbabas lalu terbakar di KM7.6 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di Kajang, pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 11.30 malam.

“Seramai enam anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Mukhlis berkata, berdasarkan laporan komander operasi, sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai terbabas sebelum terbakar.

“Terdapat lima mangsa iaitu seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak masing-masing lelaki serta perempuan berusia empat hingga 31 tahun berjaya diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada mangsa mengalami kecederaan ringan dan diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut.

“Kereta berkenaan musnah 100 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here