Nissan bersedia untuk membatalkan perbincangan penggabungan bernilai USD 60 bilion (RM265 billion) bersama Honda, kata sumber pada hari Rabu.
Perbincangan menjadi rumit akibat peningkatan perbezaan antara kedua-dua pembuat kereta Jepun itu, menurut dua individu yang mengetahui tentang perkara berkenaan.
Kedua-duanya enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa mengeluarkan kenyataan kepada media.
Saham Honda yang masih didagangkan meningkat lebih daripada 8 peratus sebagai tanda kelegaan pelabur yang jelas mengenai pembatalan perjanjian itu.
Manakala, saham dalam Nissan merosot lebih daripada 4 peratus sebelum perdagangan digantung oleh Bursa Saham Tokyo.
JADIKAN NISSAN ANAK SYARIKAT
Sebelumnya, media antarabangsa melaporkan Honda menyuarakan tentang menjadikan Nissan sebagai anak syarikat.
Nissan menolak cadangan berkenaan kerana ia menyimpang daripada rangka asal penggabungan bersama, kata sumber.
Bagaimanapun, jurucakap Honda menyatakan tidak menerima maklumat berkaitan penarikan diri daripada Nissan.
Perkembangan itu akan menimbulkan persoalan baharu tentang situasi Nissan yang terjejas teruk di tengah pelan pemulihan yang merancang mengurangkan 9,000 pekerja dan 20 peratus daripada kapasiti global tanpa bantuan luar.
Sementara itu, Nissan juga mempunyai pendedahan risiko yang lebih besar kepada tarif AS-Mexico berbanding rakan senegara Honda dan Toyota, menurut penganalisis Vincent Sun.
Tahun lalu, Honda dan Nissan mengumumkan pakatan baharu bagi memfokuskan kepada perisian kepintaran buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV).
Nissan dan Honda pada mulanya berkata mereka merancang untuk memutuskan hala tuju gabungan menjelang akhir Januari, tetapi ia kemudiannya dilanjutkan ke pertengahan Februari.
Sumber memberitahu Reuters bulan lalu bahawa rakan kongsi kecil Nissan, Mitsubishi Motors mungkin tidak akan menyertai pakatan berkenaan.