Rekaan menyerupai Microbus, VW berjaya halang van Daihatsu ini daripada dijual

6

Jika anda mengikut rapat perkembangan pasaran aftermarket Jepun, terdapat usaha yang dibuat oleh sesetengah pihak menawarkan kit badan kustom yang menyerupai model-model kereta klasik.

Contoh terdekat ialah van kecil Daihatsu Arai tahun 1998 di mana rupa paras luarannya telah diubah suai menjadi mirip sebuah Volkswagen Type II Microbus.

Cuma, pendekatan ini kurang disenangi oleh Volkswagen itu sendiri, sehinggakan mereka meminta Cars & Bids untuk menyahsenarai lelongan van Daihatsu itu.

Dalam satu seksyen komen, pihak Cars & Bids mengeluarkan kenyataan berikut:

“Awal minggu ini, kami menerima notis C&D daripada firma yang mewakili VW Amerika Utara, yang menyebut rekaan van ini melanggar beberapa tanda dagangan – termasuklah logo dan rekaan VW Bus.

“Kami tidak percaya bahawa terdapat sebarang manfaat terhadap tuntutan ini. Namun kami mahu memastikan bahawa penjual mahupun pembeli tidak menghadapi sebarang masalah, dan akibatnya kami terpaksa membuat keputusan sukar untuk membatalkan lelongan ini.”

Ini bukanlah kali pertama kes sebegini berlaku.

Menurut laman Carscoops, pada tahun 2021 sebuah van yang sama telah disita oleh pihak US Customs & Border Protection.

Apabila pemilik asal van tersebut mengetahui hal ini, beliau memohon kepada Volkswagen untuk membuang emblem VW, mengecat kembali dan menandatangani perjanjian kerahsiaan.

Sayang sekali, permintaan tersebut tidak diendahkan dan van kei tersebut akhirnya dilupuskan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here