![motor cukai jalan mati](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/motor-cukai-jalan-mati-696x520.jpg)
Motosikal yang sudah 23 tahun tidak perbaharui cukai jalan adalah antara 15 motosikal yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dalam operasi di Silibin, Ipoh, semalam.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata Honda EX5 Dream itu ditunggang seorang lelaki warga emas yang juga pemilik bengkel motosikal ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Silibin- Ipoh.
Beliau berkata warga emas berusia 61 tahun itu memberi alasan motosikal berkenaan jarang ditunggang di jalan raya utama, hanya digunakan mengelilingi kawasan taman perumahan.
“Pemeriksaan rutin dan semakan yang dibuat mendapati LKM kenderaan itu tamat tempoh sejak tahun 2002.
“Kesalahan ini adalah serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan sudah didaftarkan, tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperlukan serta memenuhi syarat keselamatan kenderaan,” katanya.
Justeru itu, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik motosikal kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan semua kenderaan bermotor di jalan raya memiliki lesen kenderaan yang sah.
Kesalahan tidak memperbaharui LKM boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.