Kilang pembuatan mega Tesla di Shanghai, China bakal memulakan pengeluaran pada 11 Februari ini.
Syarikat kenderaan elektrik (EV) Amerika itu mengambil masa tujuh bulan membangunkan kilang berkenaan.
Pengeluaran percubaan bermula pada penghujung 2024 yang mana kilang tersebut dikhaskan untuk pengeluaran bateri penyimpanan tenaga, Megapack Tesla.
Tesla melancarkan pembinaan kilang pembuatan mega itu pada Mei 2024 dan menyasarkan pengeluaran massa pada suku pertama 2025 dengan kapasiti awal 10,000 unit setahun, bersamaan penyimpanan tenaga kira-kira 40 GWh.
Pelanggan pertama kemudahan tersebut ialah Shanghai Lingang Economoic Development Group. Ia menandatangani pesanan pertama untuk simpanan tenaga Megapack pada Mei tahun lalu.
CATL & BYD PEMBEKAL SEL BATERI
Sistem penyimpanan tenaga sedang berkembang pesat di China. Ia membantu grid untuk beroperasi dengan stabil semasa menggunakan tenaga hijau kerana sistem penyimpanan tenaga sering berfungsi dengan panel solar.
Syarikat seperti BYD, Star Charge, CATL, GoodWe dan perusahaan lain turut membangunkan infrastruktur penyimpanan tenaga. Jadi, Tesla mempunyai persaingan yang sengit di China.
Perlu dinyatakan bahawa CATL dan BYD bertindak sebagai pembekal sel bateri untuk kilang pembuatan mega.
Tesla Megapack boleh menyimpan lebih 3MWh tenaga. Manfaat lain sistem ini ialah kebolehskalaan dan struktur modular. Tenaga 3MWj itu dikatakan cukup untuk menggerakkan 3,600 rumah di Shanghai selama sejam yang membantu untuk mengelakkan gangguan bekalan elektrik.
Dengan keluasan kira-kira 200,000 meter persegi, kilang baharu itu melibatkan jumlah pelaburan sekitar CNY1.45 bilion (kira-kira USD 201.76 juta), menurut pentadbiran Kawasan Khas Lin-gang Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai).