Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan menerima laporan mengenai sebuah helikopter terhempas ketika mendarat untuk mengisi minyak berdekatan tapak projek miliknya di kawasan Bentong.
Laporan awal menyatakan juruterbang berjaya dikeluarkan dengan selamat, manakala seorang pekerja syarikat helikopter iaitu warga Indonesia meninggal dunia.
TNB melalui kenyataan berkata pihaknya mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang turut terbabit dalam kerja penyelenggaraan di tapak projek berkenaan.
“Pasukan Bomba juga telah memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
“TNB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden ini,” katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger terbakar ketika mendarat di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong di Pahang dengan seorang disahkan maut, manakala seorang lagi terselamat.
Kejadian berlaku berdekatan kawasan kolam air panas ketika helikopter itu digunakan untuk kerja mengangkat bagi tujuan pemasangan kabel, dengan kebakaran menyebabkan pesawat musnah sepenuhnya.