Kerajaan disaran meneliti lebih mendalam dari aspek ekonomi, keselamatan dan keutamaan mempertahankan kedaulatan negara untuk meneruskan keputusan memajak 28 unit helikopter dengan kos RM16 bilion selama 15 tahun.
Felo Penyelidik Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Bakri Mat berkata, keputusan strategik berkenaan juga mesti diselaraskan dengan dasar utama negara yang digagaskan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP), Dasar Keselamatan Negara (DKN), Dasar Pertahanan Negara (DPN) dan Dasar Industri Pertahanan (DIP).
Menurutnya, kos pajakan yang berpanjangan boleh melebihi kos pembelian seterusnya memberi beban kewangan tambahan kepada negara.
“Sebagai contoh, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan bahawa Poland berjaya membeli 32 unit helikopter dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pajakan yang ditanggung Malaysia.
“Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada analisis kos efektif telah dilakukan secara menyeluruh sebelum strategi pajakan ini diputuskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, pembelian aset memberikan peluang untuk memperkasa industri tempatan, meningkatkan kapasiti syarikat penyelenggaraan, pembaikan (MRO) dalam negara serta menjana peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi.
Katanya, jika keputusan seperti pajakan helikopter tidak mengambil kira dasar KPP, DKN, DPN dan DIP, ia boleh melemahkan daya tahan negara serta keberkesanan jangka panjang strategi keselamatan dan pertahanan nasional.
“Sekiranya aspirasi yang digariskan dalam dokumen seperti KPP, DPN dan DIP tidak dijadikan asas dalam membuat keputusan berkaitan perolehan aset pertahanan, dokumen-dokumen ini akan menjadi sekadar simbolik tanpa impak nyata.
“Lebih membimbangkan, kegagalan untuk melaksanakan dasar-dasar ini boleh melemahkan kepercayaan terhadap usaha kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya.
Pada Selasa, Hamzah menuntut kerajaan memberi penjelasan berhubung kos pajakan berkenaan kerana dilihat sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibuat Poland.
Hamzah mengingatkan agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ selepas isu pembinaan aset pertahanan negara iaitu kapal tempur pesisir (LCS) terpalit kontroversi.
BERBALOI AMBIL KIRA KEKANGAN KEWANGAN
Bagaimanapun pakar pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berpandangan, kadar sewaan 28 helikopter jenis AW139 tersebut dilihat berbaloi mengambil kira kekangan kewangan negara dan kemampuan industri pertahanan tempatan yang masih terhad untuk menyerap teknologi bagi tujuan penyelenggaraan sekiranya kerajaan memilih membeli set berkenaan.
Katanya, ketiadaan DIP negara yang jelas juga dikhuatiri menyebabkan berlaku kerugian besar dan kelewatan ketara mengambil iktibar daripada projek perolehan LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kalau baca laporan audit (perolehan TLDM), banyak alat ganti tidak disentuh langsung yang berkarat dalam logistik sebab kapal-kapal itu apabila dibeli di Amerika Syarikat, di Korea, kita beli juga alat gantinya.
“Tapi bila kapal tu dah lupus, masih ada alat ganti dari banyak negara yang tidak boleh pakai sebab komponen tidak sama untuk setiap kapal.
“Tapi apa yang lebih penting, kerajaan kena segera keluarkan DIP, barulah kita boleh nampak hala tuju ke mana. Sebab perolehan sahaja tidak cukup. Ia juga akan menyentuh tentang integriti dan tatakelola pihak industri dan juga Kementerian Pertahanan,” ujarnya.