![langgar lampu merah](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2023/08/langgar-lampu-merah-696x417.jpg)
Tidak mematuhi lampu isyarat merekodkan jumlah paling tinggi dengan angka sebanyak 127 kesalahan dalam Operasi Penyamaran sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang berlangsung sejak 20 Januari lalu.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu, kesalahan tersebut majoritinya dilakukan oleh kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal.
![](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2023/11/Operasi-JPJ_1.jpg)
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 72 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah antara 298 kesalahan dan notis direkodkan sehingga operasi yang berlangsung pada Khamis.
Katanya, memandu di lorong kecemasan mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 66 kesalahan diikuti dengan memandu di lorong kanan secara berterusan (39 kesalahan).
“Sebanyak 35 kesalahan tidak memakai topi keledar manakala menggunakan telefon bimbit merekodkan 21 kesalahan.
“Tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh merekodkan enam kesalahan diikuti dengan empat notis tiada atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan perlindungan insuran,” katanya.
Ahmad Kamarunzaman berkata operasi kali ini menggunakan teknik penyamaran kenderaan ‘unmark’ (tidak berlogo) dan tidak memakai pakaian seragam bagi memastikan operasi berjalan lancar.