Perodua bakal lancar dua model baharu tahun ini, adakah satu daripadanya Myvi atau Bezza?

385

Perodua akan memperkenalkan dua model baharu tahun ini, satu daripadanya adalah Kenderaan Elektrik (EV).

Ia dimaklumkan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sempena acara ‘Up-Close & Casual With Perodua’ di Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi perbualan secara santai dengan media permotoran, beliau mendakwa bahawa dua model itu akan dilancarkan serentak pada bulan yang sama yang dikatakan pada hujung tahun ini.

Dua model baharu tahun ini

Seperti yang diketahui, Perodua sudah pun mempertontonkan model konsep EV, Perodua eMO-ii pada Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) Disember tahun lalu.

Namun bagi satu model lagi, beliau tidak memaklumkan secara jelas tetapi berdasarkan laporan paultan.org, Perodua mengesahkan pengenalan sebuah full model change (FMC).

Ia memberi bayangan sama ada Bezza dan Myvi yang akan untuk diberikan model baru. Memandangkan kedua-dua model itu sudah pun melepasi kitarannya selepas diperkenalkan pada 2016 untuk Bezza, manakala Myvi generasi ketiga dua tahun selepasnya.

Berhubung harga kenderaan terhadap semakan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), Zainal Abidin mengatakan pada tahun ini, tiada kenaikan harga bagi semua model Perodua yang sedia ada.

Difahamkan, jika berlaku kenaikan harga, Perodua akan menyerap kenaikan itu supaya tidak membebankan pelanggan. Kenaikan harga mungkin hanya berlaku pada model baharu sahaja.

Naik perbelanjaan modal kepada RM1.6 bilion 

Sementara itu, Perodua akan meningkatkan perbelanjaan modalnya kepada RM1.6 bilion tahun ini, dengan sebahagian besar pelaburan diperuntukkan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti stamping, pembangunan model baharu, dan peralatan.

Jumlah RM1.6 bilion itu lebih daripada dua kali ganda berbanding RM797.5 juta perbelanjaan modal (CAPEX) pada tahun 2024.

Pelaburan itu akan mengukuhkan kapasiti pengeluaran, termasuk di peringkat vendor, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti, serta memperkukuh perancangan produk R&D dan keupayaan pembangunan model baharu.

Sasaran pengeluaran 2025 diturunkan 4.9 peratus

Zainal Abidin berkata, 2025 menjangkakan jumlah pengeluaran akan menurun sebanyak 4.9 peratus kepada 350,000 unit daripada 368,100 unit yang dihasilkan pada 2024. 

“Pengurangan ini akan menyebabkan pendaftaran kenderaan menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit berbanding 358,102 unit tahun lalu,” katanya.

“Walaupun merancang pengurangan dalam pengeluaran dan jualan, permintaan terhadap kenderaan Perodua masih kukuh dengan jumlah tempahan tertunggak sebanyak 68,000 unit, di mana 28,000 tempahan menerima surat pengesahan tetapi masih belum mempunyai stok,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here