![Puspakom wangsa maju](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/Puspakom-wangsa-maju-696x471.webp)
Puspakom Wangsa Maju akan ditutup selewat-lewatnya pada Jun ini selepas mendapat arahan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).
Penutupan itu bagi memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membina fasiliti baharu di tapak yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya akan membuat pengumuman asing mengenai perancangan untuk meminda waktu perkhidmatan di beberapa pusat pemeriksaan lain di sekitar ibu kota, Selangor dan Negeri Sembilan bagi menangani kesan penutupan tersebut.
“Secara purata, Puspakom Wangsa Maju memeriksa 800 unit kenderaan sehari.
“Jadi kita perlu membuat kajian semula waktu perkhidmatan beberapa cawangan untuk menampung pengurangan slot pemeriksaan ini,” katanya.
Mahmood Razak turut menjelaskan bahawa cawangan ganti yang tetap sudah pun dikenalpasti dan dipersetujui oleh JPJ tahun lalu.
“Pelan asal penutupan ini adalah pada Disember 2026. Kami bersetuju untuk menutup lokasi ini kerana ia antara cawangan paling sibuk, namun terletak di kawasan berkepadatan tinggi.
“Cawangan ganti yang diluluskan JPJ adalah di Bukit Beruntung, Rawang, dan akan siap Disember tahun hadapan.
“Walaupun penutupan lebih awal Puspakom Wangsa Maju menimbulkan masalah baharu, kami akur dan akan cuba menampung dengan menambah waktu operasi beberapa cawangan lain,” katanya.
Cawangan Wangsa Maju memeriksa semua kategori kenderaan termasuk kenderaan berat dan tidak semua cawangan Puspakom mempunyai keupayaan memeriksa kenderaan berat.
Justeru, Mahmood Razak berkata, pihaknya menggesa pelanggan mereka untuk memeriksa kenderaan lebih awal iaitu di dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh tamat permit kenderaan bagi memudahkan mereka sekiranya mereka gagal ujian asal.
Puspakom Wangsa Maju antara cawangan terawal syarikat pemeriksa kenderaan yang dibuka pada 1995 dan mempunyai enam lorong pemeriksaan pada tanah berkeluasan 4.3 ekar.
Kos pembangunan ketika ia dibuka adalah bernilai lebih RM10 juta.