Utama Berita Automotif Monopoli Puspakom berakhir, MOT lantik tiga syarikat PPKM baru

Monopoli Puspakom berakhir, MOT lantik tiga syarikat PPKM baru

636

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pelantikan tiga daripada 12 syarikat yang memohon menjadi penyedia Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) baharu bagi fasa pertama.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat berkenaan ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

“Wawasan Bintang bakal melaksanakan operasi di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing Johor.

“Pakatan Petroleum pula beroperasi di Rawang, Selangor dan Termerloh, Pahang manakala Beriman Gold memberikan perkhidmatan di Kuching dan Serian, Sarawak,” katanya.

Menurutnya, pelantikan itu dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama seperti mempunyai kedudukan kewangan kukuh dengan modal berbayar RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan pemilikan tempatan.

Beliau berkata hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih sesuai untuk operasi PPKM berdasarkan faktor keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah, serta zon penggunaan tanah memenuhi perancangan oleh PLAN Malaysia.

Syarikat yang menerima surat tawaran pelantikan PPKM diberikan tempoh 24 bulan untuk melengkapkan keperluan infrastruktur termasuk pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Sepanjang tempoh pembangunan ini, MOT melalui JPJ akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat yang dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang ditetapkan.

“Lesen operasi hanya akan diberikan setelah syarikat berkenaan memenuhi sepenuhnya keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi.

“Lesen pengoperasian adalah 10 tahun namun mereka perlu memperbaharui pada setiap tahun,” kata beliau.

PUSPAKOM TIDAK AKAN DITUTUP

Anthony menjelaskan pemohonan sembilan syarikat yang tidak berjaya disebabkan kegagalan memenuhi kriteria utama yang ditetapkan.

Selain terdapat beberapa faktor lain yang mempunyai konflik kepentingan dengan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, seperti terlibat dalam perkhidmatan pembaikan, jual beli atau pengubahsuaian kenderaan.

Beliau berkata, MOT akan membuka semula permohonan baharu PPKM fasa kedua bermula 1 Mac hingga 31 Jun.

Syarikat yang tidak berjaya dalam fasa pertama serta mana-mana syarikat lain yang berminat, dipelawa untuk mengemukakan permohonan.

Sementara itu, mengulas mengenai status Puspakom, Anthony memberi jaminan ia beroperasi seperti biasa namun perlu bersaing dengan pemain industri yang baharu dilantik.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here