Ini Sistem Hibrid V8 Mercedes-AMG GT 63 S E Performance, Kereta Produksi Paling Berkuasa AMG

69

Di pasaran tempatan sudah ada kereta produksi paling berkuasa dari AMG. Bukan satu tetapi dua model.

Pada Mei 2023, Mercedes-Benz memperkenalkan Mercedes-AMG GT 63 S E Performance pada harga RM2,088,888.

Pada April 2024, coupe empat pintu ini kembali lagi namun dalam versi istimewa GT 63 S E Performance F1 Edition. Harganya pula hanya tambah RM30,000.

Rangkaian kuasa Mercedes-AMG GT 63 S E Performance menghasilkan 831hp dan tork maksimum 1,400Nm bersama transmisi AMG SPEEDSHIFT® MCT 9G.

Pecutan dari 0-100kmj hanya mengambil masa 2.9 saat dan kelajuan maksimum 317kmj. Dari mana datangnya ledakan kuasa dan ketangkasan tersebut?. 

ENJIN AMG 4.0 V8 BITURBO

Enjin AMG 4.0 V8 biturbo dan pakej elektrik menjadikannya sebuah kereta hibrid dengan output 630hp dan tork 900Nm yang tersedia dari 2,500 sehingga 4,500 rpm.

Pengecas turbo skrol berkembar mengoptimumkan tindak balas pada kelajuan enjin rendah dan meningkatkan kuasa pada kelajuan lebih tinggi.

Perumah turbo dibahagikan kepada dua laluan aliran selari dan meningkatkan kecekapan aliran gas ekzos.

Digabungkan dengan dua saluran berasingan dalam pancarongga ekzos, reka bentuk ini membolehkan kawalan momentum gas ekzos secara individu.

Satu saluran menerima gas ekzos dari silinder pertama dan kedua manakala satu lagi menerima gas ekzos dari silinder ketiga dan keempat.

Tetapan ini menghalang gangguan antara silinder yang boleh menjejaskan kitaran gas ekzos, sekaligus mengurangkan tekanan balik dan meningkatkan pertukaran gas.

HIBRID E PERFORMANCE

Rangkaian kuasa hibrid E Performance terdiri daripada motor elektrik dengan kuasa 201hp. Motor elektrik diletakkan pada gandar belakang untuk pembahagian berat lebih baik.

Motor ini disepadukan dengan kotak gear dua kelajuan dan pembeza gelinciran terhad kawalan elektronik (e-LSD) di dalam unit pacuan elektrik (EDU) yang kompak.

Kemudian tork dihantar secara spontan untuk pecutan tangkas. Di antara kelebihan motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang adalah ia menghantar kuasa langsung kepada roda belakang sekaligus menawarkan pecutan serta-merta.

Tork penuh dan spontan juga dapat digunakan untuk permulaan pemanduan yang responsif dan ketika memotong manakala ciri e-LSD turut meningkatkan kelincahan di selekoh.

Sekiranya gelinciran roda belakang dikesan, kuasa akan dihantar ke roda depan melalui sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.

Transmisi elektrik dua kelajuan membolehkan penghantaran kuasa optimal dan penukaran ke gear kedua sekitar 140kmj (kelajuan motor elektrik 13,500 rpm).

BATERI PRESTASI AMG

Satu lagi perkakasan adalah bateri prestasi tinggi AMG yang diletakkan berhampiran EDU dan di atas gandar belakang.

Bateri ini dibangunkan oleh AMG di Affalterbach dengan kepakaran dari pasukan Mercedes-AMG Petronas F1.

Bateri litium-ion 6.1kWj direka untuk kuasa tinggi berbanding jarak pemanduan jauh. Ia menyediakan kuasa 94hp secara berterusan atau 201hp selama 10 saat untuk dinikmati pemandu.

Berat bateri hanya 89kg dan melalui pengecas AC 3.7kW binan dalam boleh dicas di mana-mana lokasi sama ada kediaman atau di luar.

SISTEM PENYEJUKAN

Pakej hibrid Mercedes-AMG GT 63 S E Performance juga menggunakan sistem penyejukan terus yang inovatif.

Cecair penyejuk yang tidak mengalirkan elektrik mengalir secara langsung di sekitar 1,200 sel bateri untuk pengurusan haba yang cekap.

Sistem mengekalkan suhu operasi optimal pada 45 darjah Celcius untuk prestasi maksimum dan ketahanan. Pam elektrik prestasi tinggi mengalirkan 15 liter penyejuk kepada setiap sel bateri.

Komponen ini menyingkir haba melalui penukar haba minyak/air yang bersambung dengan litar penyejukan suhu rendah kereta.

Hasilnya diperolehi pada output kuasa yang konsisten walaupun dibawah bebanan melampau.

Rekaan ini juga mengelak daripada kegagalan bateri pada peringkat awal dan membantu mengekalkan kestabilan jangka masa panjang.

KUASA LONJAKAN ELEKTRIK & PEMULIHAN TENAGA 

Dari segi strategi operasi, kuasa elektrik sentiasa tersedia dan disesuaikan dari teknologi hibrid Formula 1.

Lonjakan (boost) elektrik boleh diaktifkan serta-merta untuk pecutan maksimum dan berguna ketika keluar dari selekoh atau memotong.

Kecekapan pemulihan tenaga membolehkan bateri dicas semula dengan pantas semasa pembrekan dan kelajuan biasa (coasting).

Pembrekan regeneratif dan pemulihan tenaga mempunyai empat tahap boleh laras.

  • Level 0: Pemanduan seperti kereta dengan enjin biasa
  • Level 1: Pemulihan tenaga standard, sama seperti pembrekan enjin
  • Level 2: Pemulihan tenaga tahap tinggi, mengurangkan penggunaan pedal brek
  • Level 3: Pemulihan tenaga maksimum (pemanduan satu pedal)

Mod Race istimewa menggunakan Level 1 untuk tingkah laku pembrekan konsisten di litar.

BUNYI ENJIN V8 HIBRID

Sebagai jentera V8 kacukan elektrik bagaimana dengan muzik enjin yang dimainkan?.

Berada di era elektrifikasi, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance menggunakan suara tiruan dan sistem ekzos aktif.

Bunyi AMG frekuensi rendah dikeluarkan melalui pembesar suara pada kelajuan di bawah 30kmj.

Jika masih mahu menikmati pada kelajuan lebih tinggi, pemandu boleh menetapkannya melalui butang AMG DRIVE UNIT pada stereng.

Semasa memandu di dalam mod elektrik, sistem menawarkan bunyian perlahan atau berkuasa dan mod enjin melaras bunyi ekzos mengikut tetapan yang dipilih.

Di sebalik bunyian (pun) hibrid, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance kekal dengan identiti AMG melalui iramanya.

Mercedes-AMG GT 63 S E Performance 2025 Amerika Syarikat:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here