![RXZ](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/RXZ-696x325.jpg)
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah mengingatkan peminat motosikal Yamaha RXZ agar tidak melakukan perbuatan sia-sia dengan membeli atau menunggang motosikal tersebut yang diseludup dari Thailand, lapor akhbar Kosmo.
Jelasnya, keseronokan memiliki motosikal secara haram itu hanya bersifat sementara kerana kemungkinan besar akan ditangkap atau dikesan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, siasatan mendapati kebanyakan motosikal Yamaha RXZ seludup tidak berdaftar dengan JPJ dan pemiliknya juga sering menyalah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Memiliki atau menunggang motosikal seludup merupakan satu perbuatan sia-sia dan mereka boleh ditangkap. Justeru, peminat motosikal Yamaha RXZ perlu mengikut saluran yang betul untuk memiliki motosikal tersebut.
“Semua pihak perlu mengikut peraturan di negara ini dan jangan beli atau tunggang motosikal seludup. Banyak cara lain untuk beli motosikal Yamaha RXZ yang ada dijual di pasaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ops Khas Tahun Baru Cina 2025 di Stesen Penguat Kuasa JPJ Bukit Jawa di sini tengah malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, JPJ Kelantan sentiasa bekerjasama dengan pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam usaha untuk mengekang penggunaan motosikal seludup itu di jalan raya.
Terdahulu, seorang pemilik bengkel motosikal dicekup selepas dipercayai terlibat kegiatan menyeludup komponen gantian dan motosikal Yamaha RXZ dari Thailand di Kampung Padang Luas dekat Jerteh, Terengganu pada 1 Februari lalu.