![pelantikan syarikat PPKM](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/pelantikan-syarikat-PPKM-696x464.jpg)
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan surat tawaran syarikat untuk operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) pada 7 Februari lalu adalah kelulusan bersyarat.
Pihak MOT boleh membatalkan pelantikan sekiranya syarikat PPKM gagal memenuhi syarat dalam tempoh ditetapkan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, syarikat yang dilantik bagi melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan perlu memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan, tenaga kerja, dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.
“Oleh demikian, pendekatan ini tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap pihak Kerajaan. Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan.
“MOT dan JPJ tidak menetapkan tempoh pendaftaran dengan SSM sebagai syarat kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi,” katanya bagi menjawab pertikaian yang dibangkitkan di media sosial.
Dalam aspek pemilihan lokasi, penetapan dibuat berdasarkan konsep “cross subsidy” bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah.
“Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi yang mempunyai volum tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara,” jelasnya.
TIGA SYARIKAT PENUHI SEMBILAN SYARAT UTAMA
Di samping itu, MOT juga menegaskan pelantikan tiga syarikat PPKM tersebut telah mematuhi kesemua sembilan syarat utama ditetapkan.
Jelasnya, pemilihan syarikat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk syarat kelayakan, prosedur, peraturan dan standard yang dipaparkan di laman rasmi MOT dan JPJ sejak 23 April 2024.
“Hasil penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati tiga syarikat yang terpilih memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.
“Semua permohonan dinilai mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Tatacara Perolehan Secara RFP yang berkuatkuasa sejak 29 November 2022,” katanya.
Sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober 2024, sebanyak 12 syarikat telah mengemukakan cadangan dalam proses Request For Proposal (RFP) dan hanya tiga yang terpilih.
Berikut sembilan syarat utama yang perlu dipenuhi oleh syarikat PPKM:
1. Berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
2. Dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sdn. Bhd. atau Bhd.
3. Memiliki modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan.
4. Mempunyai modal pusingan (working capital) minimum RM5 juta setahun.
5. Memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran.
6. Menyediakan wang deposit atau bon minimum 5 peratus daripada nilai modal pusingan.
7. Memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan.
8. Berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan.
9. Pemegang saham, pemilik syarikat, atau ahli lembaga pengarah syarikat tidak boleh mempunyai sebarang prosiding atau tindakan mahkamah atau disenaraihitam oleh mana-mana pihak berkuasa.