Pasaran motosikal China semakin kompetitif yang mana pemain utama melakukan langkah besar dalam pengenalan model-model baharu.
Sebagai permulaan, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China mengeluarkan data berkaitan pelancaran CFMoto 450SR (2025). Selain prestasi yang dipertingkatkan, sportbike itu bakal didatangkan dengan dua versi swing arm.
Menurut 58Moto, daripada segi penampilan CFMoto 450SR versi naiktaraf tersebut masih meneruskan garis badan kompak bersama gabungan fairing penuh dan rekaan ‘wing’ tajam.
Varian swing arm tunggal didatangkan dengan pilihan warna badan perak dan hitam manakala swing arm berkembar dipadankan dengan warna perak dan kemasan merah pada rim dan ‘wing’ depan.
Perubahan paling ketara adalah bahagian pengadang angin yang dipertingkatkan dan rekaan inlet udara sedikit berbeza.
Janakuasa pula masih menggunakan enjin 449.5cc DOHC penyejukan air dengan silinder berkembar sebaris. Menurut data yang difailkan, kuasa 450SR ditingkatkan daripada 37kW menjadi 38kW manakala kelajuan maksimumnya kini 195kmj.
Fail yang didaftarkan oleh Zhejiang Chunfeng Power Development Co Ltd itu memaparkan sportbike berkenaan didatangkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dua saluran dan Sistem Kawalan Traksi (TCS) sebagai standard.
Dengan berat 170kg, ia memiliki panjang 1,995mm, lebar (715mm) dan tinggi (1,165) serta jarak roda 1,370mm.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah lampu LED, skrin instrumental TFT 5-inci dan rim bersaiz 17-inci.
Dari segi harga, CFMoto 450SR sedia ada dijual pada harga CNY 32,580 (RM19,923) bagi swing arm tunggal dan CNY 28,580 (RM17,477) untuk varian swing arm berkembar.
Memandangkan persaingan pasaran China yang sengit, harga mungkin turun selepas naiktaraf.