![bas-terangkat](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/bas-terangkat-696x392.jpg)
Sebuah bas awam dilapor tergantung dengan tayar depan terangkat tiga meter dari atas jalan selepas terbabas di Jalan Taksin, Bangkok semalam (11 Februari), memetik laporan Bangkok Post.
Pemandu bas bernombor 167 yang dikenali sebagai Apinya, 34 tahun berkata beliau sedang melintasi Jambatan Bangkok menuju ke arah Jalan Chong Thong sebelum hilang kawalan lalu terbabas.
Lebih malang apabila cermin sebelah kiri bas tersebut tersangkut pada kabel elektrik bervoltan tinggi menyebabkan bahagian hadapan bas tersebut terangkat.
Ketika kejadian, bas tersebut dikendalikan oleh seorang pemandu dan konduktor, dan terdapat tiga orang penumpang. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Menurut Apinya lagi, selepas keluar dari bas, beliau mendapati terdapat kesan yang dipercayai campuran minyak enjin dan air pada jalan berhampiran.
Bas tersebut kemudian berjaya diturunkan kembali dengan bantuan kren.