![suzuki-x-kentex-hayabusa-and-katana-limited-editions---hero](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/suzuki-x-kentex-hayabusa-and-katana-limited-editions-hero-696x392.webp)
Ini merupakan satu berita baik dan dalam masa yang sama kurang enak buat para peminat Suzuki Hayabusa dan Suzuki Katana.
Menerusi kerjasama dengan pembuat jam tangan Jepun Kentex, Suzuki bakal menawarkan dua utas jam tangan bertemakan kedua-dua model motosikal tersebut.
Berita kurang baiknya, setiap satu model jam tangan tersebut akan ditawarkan sebanyak 300 unit sahaja, di mana pembeli bertuah akan ditentukan menerusi sistem cabutan undi.
Menggunakan asas daripada jam tangan Kentex Moto-R, jam tangan Hayabusa dan Katana itu membawakan casis berdiameter 42 mm, rekaan bezel dodekagon, sistem pergerakan kuarza chronograph, dan kalis air pada kedalaman sehingga 100 meter.
Setiap satu jam tangan tersebut dijual pada harga ¥55,000 (RM1,602).
Peminat jam tangan G-Shock usah risau kerana anda boleh mendapatkan jam G-Shock bertemakan Suzuki Jimny.
Jam tangan dengan bekas penyimpanan bertemakan badak sumbu itu juga akan ditawarkan sebanyak 1,000 unit menerusi sistem loteri, setiap satu berharga ¥26,400 (RM769).
Suzuki turut menawarkan jam tangan tema Swift Sport menerusi kerjasama dengan pembuat jam Seiko.
Jam tangan chronograph itu boleh didapati dalam dua warna menarik, iaitu Champion Yellow berharga ¥77,000 (RM2,242) atau warna Premium Silver berharga ¥69,300 (RM2,018).
Sama seperti jam tangan Hayabusa dan Katana, jam tangan Seiko Swift Sport ini hanya akan ditawarkan sebanyak 300 unit untuk setiap warna, dan pembeli akan ditentukan menerusi sistem yang sama.