Dua pemuda didenda, penjara cederakan rakan guna helmet

51

Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Muar, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan topi keledar selepas mangsa gagal melunaskan hutang sebanyak RM500, pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Syazwan Abdul Aziz, 33, dan Muhamad Syukri Rahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Susulan itu, Muhammad Syazwan dikenakan hukuman penjara enam bulan, manakala Muhamad Syukri, didenda RM1,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syazwan yang bekerja pencuci kenderaan dan Muhamad Syukri sebagai tukang cat didakwa bersama-sama dengan sengaja mencederakan seorang lelaki berusia 30 tahun, di Bukit Pasir, Muar pada jam 4 pagi, 9 Februari lalu.

Susulan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama kedua-dua tertuduh sedang melepak di sebuah rumah sebelum tercetus perselisihan yang berpunca daripada mangsa tidak membayar hutang kepada seorang daripada tertuduh.

Kemuncaknya apabila kedua-dua tertuduh mengambil topi keledar lalu memukul kepala mangsa dan mulut, selain mereka menumbuk muka serta mata mangsa hingga cedera.

Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek pada Sabtu dan Ahad lalu bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, Muhammad Syazwan turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif methampetahmin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya dengan hukuman berkuat kuasa dari tarikh ditahan pada 9 Februari lalu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here