
Pasangan warga asing yang ‘berlakon’ kurang siuman semasa berada di dalam pesawat yang hendak berlepas ke Jieyang Chaosan, China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang, disahkan tidak menghidap masalah mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, perkara itu disahkan pihak Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Rabu.
Katanya, berikutan itu pasangan tersebut ditahan kira-kira jam 7.30 malam hari yang sama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.
“Mereka disiasat mengikut mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Kedua-dua tangkapan ini akan dituduh esok di Mahkamah Sepang,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang, 9 Februari lalu, laporan diterima Balai Polis KLIA 2 daripada petugas keselamatan berkaitan kekecohan dalam pesawat yang mana seorang wanita asing berkelakuan kurang siuman hingga mengganggu penumpang lain.
Menurut Albany, wanita itu bersama pasangannya telah dibawa keluar oleh petugas keselamatan pesawat berkenaan.
Tambah beliau, semasa siasatan dibuat, pasangan itu gagal memberikan kerjasama selain berkelakuan seperti tidak siuman serta agresif.
“Polis dengan bantuan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian telah membawa kedua-dua warga asing itu ke Hospital Sultan Idris Shah bagi menjalani pemeriksaan kerana disyaki kurang siuman sebelum ditahan di wad.
“Ujian air kencing juga mengesahkan suspek bebas pengaruh dadah,” jelasnya.
@chloeluna7305 Flight AK142 and they were supposed to return to China… but was escorted out as the lady appears unwell mentally…