
Terdapat beberapa model skuter berkuasa elektrik yang anda boleh pertimbangkan untuk pergi ke surau atau kedai runcit.
Para pemilik Vespa klasik yang mahukan tunggangan sifar emisi boleh mendapatkan kit penukaran yang boleh mengubahnya menjadi sebuah skuter elektrik tanpa mengorbankan imej retro.
Dihasilkan oleh syarikat pemula dari Itali Retrokit, kit ini terdiri daripada dua komponen utama, iaitu motor elektrik berkuasa 9.4 hp/28 Nm dan pek bateri lithium-ion 2,350 Wh yang boleh dicas penuh selama empat jam.
Selain itu, ada juga komponen tambahan seperti sistem pencahayaan LED, pendikit, unit kawalan dan panel meter digital.
Terdapat dua kit yang berbeza ditawarkan, direka untuk menghasilkan prestasi seakan sebuah Vespa bersesaran 50 cc atau 125 cc, dan kedua-dua kit tersebut lengkap dengan tiga mod tunggangan iaitu Eco, Drive dan Sport.
Dalam mod Eco, ia mampu membenarkan jarak tunggangan sejauh 82 km, dan boleh dibantu dengan fungsi pemulihan tenaga.
Kedua-dua kit itu juga menawarkan kelajuan tertinggi yang berbeza, di mana kit 50 cc dihadkan kepada 45 km/j manakala versi 125 cc pula mampu mencapai 80 km/j.
Menurut pengeluar, kit penukaran ini masih lagi mengekalkan struktur casis, roda dan brek yang asal, dan proses penukaran hanya mengambil masa empat jam.
Pemilik juga boleh menghubungkan sistem ini kepada aplikasi peranti pintar untuk memantau kelajuan, tahap pengecasan bateri, jarak tunggangan serta mod tunggangan – kesemua info ini turut dipaparkan pada panel meter digital.
Harga untuk satu kit penukaran tersebut bermula dari US$3,500 (RM16 ribu).