
Bayangkan, suatu hari nanti anda diberikan peluang untuk membeli kereta idaman (bukan kereta sports) yang datang standard dengan enjin berprestasi tinggi.
Perkara ini sebenarnya sudah menjadi satu realiti di Eropah di mana Volkswagen mula menawarkan enjin Golf GTI berkod EA888 untuk tiga model bukan berprestasi tinggi – Tayron, Tiguan dan Passat.
Dengan enjin baharu itu, ketiga-tiga model tersebut berupaya menjana kuasa setinggi 261 hp dan daya kilas 370 Nm dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD).
Bukan itu sahaja, model Passat boleh memecut sepantas 5.8 saat dari pegun ke 100 km/j, manakala SUV Tayron dan Tiguan pula masing-masing sepantas 5.9 saat.
Enjin baharu itu juga membolehkan Tiguan dan Passat untuk menarik beban seberat 2,200 kg, manakala Tayron pula berupaya menunda beban seberat 2,500 kg.
Untuk mendapatkan model berenjin Golf GTI tersebut, Volkswagen menyarankan pembeli untuk menaik taraf kepada varian R-Line.
Harga jualan bermula dari €57,995 (RM269 ribu) untuk Tiguan R-Line, €59,775 (RM277 ribu) untuk model Tayron R-Line, dan €62,990 (RM292 ribu) untuk Passat R-Line.