
Permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan secara digital melalui aplikasi MyJPJ bermula esok (17 Januari).
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengenalan fungsi tersebut bertujuan memudahkan orang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu ke kaunter JPJ.

Jelasnya, fungsi baharu itu membolehkan seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL melaksanakan permohonan CDL melalui Aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja, menerusi telefon pintar mereka.
“Fungsi baharu permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ mempunyai kelebihan seperti mudah dan cepat, proses permohonan CDL menjadi lebih mudah dan cepat dengan hanya beberapa langkah di aplikasi MyJPJ.
“Pemohon tidak perlu lagi meluangkan masa untuk pergi ke kaunter JPJ, dan permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya menerusi kenyataan media.
Tambah beliau ia juga mesra pengguna dengan antara muka yang mesra pengguna, memudahkan semua golongan untuk menggunakan fungsi baharu ini.
JPJ Malaysia berharap inisiatif itu akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama seterusnya salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.
“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
ARTIKEL LAIN
Penunggang beri alasan tiada masa ambil lesen dan perbaharui cukai jalan