
Kegembiraan dua remaja menaiki motosikal dengan melakukan aksi ‘wheelie’ membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di KM83.9 Jalan Kluang-Kota Tinggi Kluang, pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam operasi itu sebanyak 17 motosikal diperiksa dan sebanyak 14 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Katanya, seramai 21 individu turut diperiksa dalam operasi selama empat jam dan berakhir pada jam 2 pagi itu.
“Dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun yang menaiki sebuah motosikal ditahan dalam operasi tersebut.
“Bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di atas jalan raya secara melulu dan membahayakan kepada pengguna lain,” katanya.
Dalam pada itu, Bahrin berkata operasi itu akan giat dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin dan tidak berlaku sebarang kecelakaan yang tidak diingini.
Orang ramai khususnya remaja dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram yang membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.