
Laman Kosmo pada minggu lepas (14 Februari) melaporkan satu video tular yang memaparkan sebuah trak pikap jenis Isuzu didapati membawa muatan sebuah motosikal beserta penunggang duduk di atas motosikal tersebut.
Video berdurasi satu minit 30 saat itu turut dikesan oleh pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Pilah.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Shamrol Shah Ramli berkata, pihaknya telah mengesan dan memanggil pemandu pacuan empat roda dan penunggang motosikal untuk mengetahui punca sebenar.
“Hasil rakaman percakapan yang telah diambil, pemandu pacuan empat roda berniat baik dengan membantu penunggang motosikal yang mengalami masalah tayar bahagian belakang telah pecah di kawasan Bukit Putus.
“Motosikal tersebut telah diletakkan di muatan bahagian belakang pacuan empat roda dan sebab utama penunggang duduk di atas motosikal untuk mengelakkan motosikal tersebut dari terjatuh,” katanya kepada pemberita.
Ujar Shamrol lagi, tindakan tersebut bagaimanapun adalah amat berbahaya dan tidak mengutamakan ciri-ciri keselamatan pada penunggang serta pengguna jalan raya yang lain serta kes ini masih dalam siasatan lanjut.
Video tersebut ternyata mengundang pelbagai reaksi netizen di dalam media sosial.