
Tesla menyaman Zhang Yazhou selepas wanita itu mendakwa brek Model 3 gagal berfungsi sehingga mengakibatkan kemalangan dan kecederaan.
Tanpa mendapatkan data pra-kemalangan kenderaan itu, Zhang memulakan bantahan awam terhadap pembuat kereta itu termasuk demonstrasi di depan bilik pameran Tesla Shanghai, yang tular di media sosial.
Zhang juga ditahan selama lima hari dan Tesla menuduhnya menyebarkan maklumat palsu bagi merosakkan reputasi pengeluar kereta elektrik (EV) itu.
Tindakan undang-undang bermula apabila Zhang menyaman Tesla kerana memfitnah selepas seorang eksekutif syarikat menyatakan dia sedang mencari pampasan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, wanita berkenaan kalah dalam perbicaraan tersebut dan Tesla menyaman Zhang bagi menuntut ganti rugi.
Susulan tekanan yang diterima, Tesla secara terbuka mengeluarkan data kenderaan itu dengan mendakwa brek Model 3 tersebut berfungsi dengan betul dan Zhang memandu pada kelajuan 120kmj sebelum kemalangan.
Bagaimanapun, Zhang membantah informasi tersebut dan menyaman syarikat itu kerana menceroboh maklumat peribadi tetapi tewas sekali lagi di mahkamah .
KEMALANGAN
Pada Mei 2024, mahkamah Shanghai memutuskan aduan awam Zhang melebihi had kritikan yang munasabah dan mengarahkannya membayar USD23,000 (RM101,797) untuk menampung kos undang-undang Tesla, selain mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
Zhang membuat rayuan dengan alasan dia hanya menyatakan pendapat sebagai pengguna dan berhak untuk mengkritik syarikat itu.
Kemalangan tersebut berlaku pada Februari 2021 di wilayah Henan, tengah China yang mana brek Tesla Model 3 miliknya gagal berfungsi pada lampu merah.
Selepas itu EV berkenaan melanggar sebuah SUV dan sedan, sebelum merempuh penghadang konkrit yang besar. Kedua-dua ibu bapanya mengalami gegaran otak dan mendapatkan rawatan di hospital selama empat hari manakala dia dan anak saudaranya tidak mengalami kecederaan.
Kes ini tidak terpencil, kerana Tesla mempunyai sejarah saman pelanggan China yang mengadu secara terbuka tentang produknya.
Sepanjang empat tahun lalu, syarikat itu memfailkan 14 saman fitnah di China dan menang sekurang-kurangnya 11 daripadanya. Sesetengah pelanggan mendakwa kerosakan dan kecacatan, tetapi Tesla berjaya mencabar tuntutan itu di mahkamah.
ARTIKEL LAIN
Tesla menang saman fitnah TikToker China, dapat ganti rugi RM64k