Pesawat Delta Air Lines terhempas dan terbalik di Toronto

52

Sebuah pesawat Delta Air Lines terhempas dan terbalik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson pada Isnin.

Kesemua penumpang berjaya keluar dari pesawat tanpa kecederaan kritikal manakala 17 mengalami cedera ringan.

Penerbangan Delta 4819 tersebut terhempas ketika mendarat di landasan bersalji di bandar terbesar Kanada, kata Ketua Pegawai Eksekutif Toronto Pearson, Deborah Flint.

“Kesemua 80 orang berjaya keluar dari pesawat sebelum ia terbakar.

“Penerbangan yang dikendalikan oleh anak syarikat penerbangan Endeavor Air itu berlepas dari Minneapolis kira-kira jam 11.47 pagi dan terhempas kira-kira 2.15 petang,” katanya.

Tidak dapat dipastikan apa yang menyebabkan pesawat itu terbalik namun kapal terbang yang hancur terbakar itu dibiarkan di landasan bersalji ketika penumpang bergegas keluar.

Bahagian sayap Bombardier CRJ-900LR itu remuk teruk manakala sebahagian ekornya tercabut. 

BOMBA LOMPAT KELUAR PESAWAT TERBAKAR

Video mengerikan yang disiarkan oleh Storyful menunjukkan dua orang anggota bomba melompat keluar dari pintu sisi pesawat dan berlari ke tempat selamat hanya beberapa saat sebelum bola api besar meletus dari fiuslaj.

Paramedik memberitahu BBC bahawa mereka membawa tiga penumpang yang cedera parah ke tiga hospital berbeza, termasuk pesakit kanak-kanak, seorang lelaki berusia 60-an dan seorang wanita berusia 40-an.

Umur kanak-kanak yang cedera tidak diketahui dan identiti penumpang lain yang cedera tidak didedahkan. 

Kakitangan lapangan terbang memberitahu CTV News bahawa lapangan terbang telah menutup semua ketibaan dan pelepasan berikutan nahas itu.

Bombardier CRJ-900LR boleh memuatkan sehingga 88 penumpang dan empat anak kapal, menurut rekod penerbangan.

Ia merupakan insiden besar pertama melibatkan jet penumpang komersial sejak nahas pada 29 Januari melibatkan helikopter Army Black Hawk dan penerbangan American Airlines 5342 di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan yang mana 67 penumpang dan anak kapal terbunuh.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here