
Ini merupakan satu berita baik buat para peminat kenderaan gaya hidup yang serba lasak daripada jenama Sweden.
Ini kerana Volvo baru sahaja melancarkan model terbaharu EX30 Cross Country, direka untuk golongan pemandu dan pemilik yang gemarkan aktiviti pemanduan lasak terutama di laluan off-road ringan.
Volvo EX30 Cross Country merupakan varian terbaharu SUV elektrik kompak, menawarkan beberapa ciri yang unik supaya spesifikasinya selari dengan keluarga Cross Country sedia ada.
Varian Cross Country ini mendapat jarak kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi berbanding varian standard, diikuti rim 18 inci serta pilihan tayar all-terrain.
Selain itu, EX30 Cross Country ini tampil lebih lasak dengan panel hitam berukiran peta pergunungan Kebnekaise, skid plate yang lebih besar, serta penambahan plastik pelindung pada keempat-empat gerbang roda.
Tidak ketinggalan, perkataan “Cross Country” yang boleh dilihat pada tiang C serta pada skid plate belakang.
Mengikut jejak langkah model Cross Country terdahulu, Volvo EX30 Cross Country didatangkan standard dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang digerakkan oleh motor elektrik berkembar berkuasa 422 hp dan 542 Nm.