
Tesla menerusi laman web rasminya mengumumkan penghantaran Model Y facelift di China akan bermula hujung bulan ini.
Ia lebih awal daripada tarikh penghantaran yang dijadualkan pada Mac depan susulan menunggu kelulusan kawal selia.
Model Y facelift dengan kod nama Juniper dilancarkan di China pada 10 Januari dengan 50,000 unit pra tempahan diterima pada hari tersebut.
Pasaran China didatangkan dengan dua pilihan varian iaitu pacuan roda belakang (RWD) pada harga CNY263,500 (RM161,169) dan pacuan semua roda (AWD) pada harga mula CNY303,500 (RM185,636) berbanding model sebelumnya dengan tiga varian.
Perubahan paling ketara Model Y tersebut adalah reka bentuk luaran yang mendapat inspirasi daripada robotaxi Cybertruck dan Cybercab.
Ia menggunakan reka bentuk kluster lampu nipis pada depan dan belakang yang mana rekaan itu sudah biasa dilihat pada model pengeluar kereta elektrik (VE) China.
Tesla berkata Model Y facelift mempunyai jarak perbatuan lebih jauh, reka bentuk baharu, dalaman berkualiti tinggi dan perjalanan lebih senyap.
EV itu memiliki dimensi 4,797 mm panjang, 1,920 mm (lebar) dan 1,624 mm (tinggi) serta jarak roda 2,890 mm. Kedua-dua varian mempunyai berat masing-masing 1,921kg dan 1,992 kg.
Versi RWD dikuasakan oleh pek bateri dengan kapasiti 62.5 kWj dan jarak pemanduan 593km (CLTC ) yang mana meningkat 39km.
Varian ini dikuasakan oleh motor elektrik belakang dengan kuasa 220kW dan mampu memecut dari 0-100kmj dalam masa 5.3 saat, prestasi yang lebih baik berbanding sebelumnya 5.9 saat.
Versi AWD pula menggunakan pek bateri 78.4 kWj dan jarak pemanduan 719km (CLTC ) yang mana meningkat 31km. Tesla berkata ia adalah Model Y dengan jarak terjauh dalam sejarah.
Tesla Model Y ialah kereta terlaris di dunia pada tahun 2024. Di China, Model Y terjual sebanyak 480,309 unit tahun lepas, meningkat 5 peratus berbanding 2023.
Ini menjadikan Model Y juga kereta terlaris di China selepas BYD Qin Plus (480,025 unit).