
Tahukah anda, Toyota Corolla (termasuklah GR Corolla) yang ada dijual di pasaran Malaysia sekarang merupakan model generasi ke-12.
Namun, sehingga ke saat ini Toyota Jepun masih lagi meneruskan jualan model Corolla generasi ke-11 yang lebih dikenali dengan nama Corolla Axio (sedan) dan Corolla Fielder (wagon) – direka untuk syarikat pengendali armada dan sekolah memandu.
Di sana, Corolla Axio dijual pada harga bermula dari 1,639,600 yen (RM48,000), mahal sedikit jika dibandingkan dengan Proton Persona varian CVT yang asas.
Versi wagon pula dijual pada harga bermula 1,786,400 yen (RM52,310).
Sayang sekali, hayat sedan dan wagon generasi ke-11 tersebut tidak akan bertahan lebih lama.
Toyota mengumumkan kedua-dua model kompak itu akan dihentikan produksinya pada lewat Oktober tahun ini.
Apa beza Corolla Axio dengan Corolla Altis yang ada di Malaysia?
Beza yang paling ketara ialah dimensi lebar, di mana Corolla Axio mempunyai ukuran lebar 1,695 mm, manakala Corolla Altis (gen-11) pula jauh lebih lebar, sekitar 1,775 mm.
Pendekatan yang sama turut digunakan kembali untuk model generasi ke-12, di mana model Corolla pasaran Jepun lebih pendek 135-145 mm dan kurang lebar 45-55 mm jika dibandingkan dengan model pasaran global.