
Pelaksanaan projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijadualkan bermula hujung bulan ini dan dijangka siap pada 2029.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata projek itu sudah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan dengan kerja-kerja awalan bermula pada Januari lalu.
“Skop pelebaran membabitkan penambahan satu lorong setiap hala dari KM 19.2 (Plaza Tol Gombak) hingga KM64.5 di persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong, dengan keseluruhan panjang 45.30km.
“Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat besar kepada pengguna lebuh raya, terutama dalam mengatasi isu kesesakan trafik, menambah baik ciri-ciri keselamatan serta reka bentuk lebuh raya sedia ada, dan pemasangan lampu jalan tambahan dari Genting Sempah ke Bentong,” katanya.
Beliau menjawab soalan Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) berhubung perkembangan pembangunan Lebuh Raya KLK, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Izham berkata, skop pelebaran Lebuh Raya KLK akan dilaksanakan dalam koridor/rizab jajaran lebuh raya sedia ada tanpa membabitkan pengambilan tanah tambahan.
“Rizab lebuh raya yang berada di Selangor sebahagiannya adalah tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTР) serta Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS).
“Syarikat konsesi Lebuh Raya KLK, iaitu AFA Prime Berhad, mengadakan sesi libat urus dengan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Selangor (JKPTGS) serta JPNS, dan mengenal pasti majoriti penempatan yang berada di pinggiran lebuh raya adalah penempatan setinggan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, syarikat konsesi bersama JKPTGS, JPNS dan pihak-pihak terbabit sudah mengambil inisiatif membuat bancian terhadap penempatan yang terkesan.
“Laporan bancian itu akan diteliti oleh pihak JKPTGS dan JPNS untuk diambil tindakan lanjut selaras peraturan serta garis panduan yang berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat kediaman penduduk yang berada dalam rizab lebuh raya dan perlu berpindah keluar, kerajaan negeri akan memastikan proses pemindahan itu mengikut lunas undang-undang sedia ada tanpа meminggirkan kebajikan pemilik kediaman terbabit,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) mempertimbangkan projek pelebaran jalan lama Gombak-Karak bagi mengatasi isu kesesakan, terutama ketika musim perayaan.