
Tidak seperti motosikal elektrik, jentera dua roda dengan enjin hibrid masih lagi belum cukup meluas penawarannya.
Namun, apa yang pasti sistem hibrid pada motosikal mampu menawarkan manfaat yang hampir sama seperti mana-mana kereta hibrid – penjimatan bahan api dan prestasi seakan sebuah EV.
Jika sebelum ini Kawasaki memperlihatkan model hibrid Ninja 7 dan Z7, Yamaha pula tampil dengan teknologi hibrid yang dinamakan sebagai Series Parallel Hybrid Electric Vehicle (SPHEV).
Sistem SPHEV ini terdiri daripada enjin dan dua motor, satu daripadanya memacu terus roda belakang dan satu lagi motor disambungkan kepada enjin dan boleh digunakan untuk menjana kuasa elektrik.
Ia menawarkan tiga mod tunggangan:
• Mod EV – tayar belakang digerakkan oleh motor elektrik, sementara bateri dicas menggunakan sistem brek regeneratif
• Mod Hibrid Siri – kedua-dua enjin dan motor elektrik akan digunakan untuk menggerakkan roda dan menjana kuasa elektrik
• Mod Enjin – kuasa enjin akan digunakan semasa motosikal mencapai kelajuan sederhana dan kelajuan tinggi
Penunggang juga boleh memanfaatkan ciri boost, di mana pecutan jentera akan dibantu dengan tujahan kuasa daripada enjin dan juga motor elektrik.
Dalam mod dual boost, kuasa akan diperah daripada enjin dan motor elektrik belakang, sementara mod triple boost pula akan menggerakkan sebuah lagi motor elektrik (generator motor) untuk kuasa tambahan.
Sistem SPHEV ini dipasang pada sebuah skuter XMAX yang telah diubahsuai, namun menurut Yamaha ia juga boleh dipadankan pada motosikal bersaiz serupa, seperti streetbike naked dan juga sportsbike reraup penuh.