
Pasaran SUV yang semakin berkembang di Malaysia sejak kebelakangan ini menyaksikan kemasukkan pelbagai produk termasuklah jenama China.
Ini memberi kelebihan kepada pengguna dalam memilih kereta mengikut kesesuaian bajet.
Buat golongan wanita eksekutif mahupun ibu yang sedang mencari model SUV, anda boleh mempertimbangkan Kia Sportage dalam senarai kereta pilihan.
Pesaing kepada Mazda CX-5 dan Honda CR-V itu sudahpun dipasang tempatan (CKD) yang memberi kelebihan kepada penjimatan wang.
Sportage generasi kelima ini memenuhi citarasa golongan ibu milenial walaupun pada zaman mereka membesar, SUV begitu kental dengan rekaan berkotak.
Sportage masih lagi menampilkan rekaan moden masa kini namun tidak terlalu berlebihan. Bentuk badannya diserlahkan dengan garis-garis tajam yang sesuai dengan citarasa wanita yang menghargai estetika moden.
Wajah depannya masih lagi mengekalkan rekaan khas Kia dengan ‘Digital Tiger Nose’ dan lampu DRL acah bumerang membuatnya semakin unik. Di belakang pula, rekaan lampu utama yang tajam dipadankan dengan kemasan krom pada bawah bampar.
Berbanding dengan beberapa SUV lain yang mempunyai reka bentuk lebih agresif dan maskulin, Sportage menawarkan reka bentuk yang lebih seimbang.
Ia sesuai buat wanita yang menginginkan kenderaan yang bergaya tetapi tidak terlalu menonjol ibarat peribahasa mat saleh ‘less is more’.
CIRI PERALATAN KABIN PENUHI KEPERLUAN IBU
Baru-baru ini, Motoqar berpeluang menyertai sesi pandu uji yang dianjurkan Kia Malaysia ke Janda Baik, Pahang.
Kami memandu varian terendah, Kia Sportage 2.0 ketika bertolak dari Glenmarie sebelum memandu pulang Kia Sportage 1.6T High.
Operasi pelarasan kerusi pemandu masih lagi manual berbanding varian Sportage 1.6T High yang menggunakan kuasa elektrik dengan 8-tahap dan ciri lumbar.
Namun begitu, untuk mendapatkan posisi duduk yang ideal bagi ketinggian 158cm tiada masalah walaupun pelarasan terhad buat Sportage 2.0.
Tempat duduk yang tinggi memberikan pandangan yang jelas ke atas jalan, membantu wanita merasa lebih selamat dan yakin semasa memandu.
Garis bumbung yang rendah di belakang tidak mengorbankan ruang kepala dalam kabin. Walaupun ia memiliki tinggi terendah dalam segmennya dengan 1,660mm, penumpang ketinggian 165sm masih boleh duduk dengan selesa.
Di kerusi pemandu, mata akan tertumpu pada bingkai hitam melengkung yang menempatkan skrin infotainmen dan kluster instrumen.
Pada varian terendah, ruangan itu menempatkan skrin TFT berwarna 4.2 inci dan skrin hiburan 8-inci manakala varian 1.6T High lebih mewah menerusi skrin infotainmen dan paparan kluster 12.3-inci.
Tetapi, operasi kawalan sistem hiburan lebih praktikal bagi varian terendah menerusi pemasangan punat fizikal volum, radio dan media di sisi skrin.
Sementara, 1.6T High menggunakan skrin sentuh untuk mengawal tetapan pendingin hawa dan infotainmen seperti media dan navigasi yang diletakkan di bawah corong aircon.
Kedudukan kawalan yang tidak sebaris dengan paras mata itu sedikit mengganggu kerana perlu mengalihkan pandangan dari jalan walaupun posisi papan pemuka diarahkan ke pemandu.
Barangkali, kami masih belum membiasakan diri dengan posisi punat kawalan tersebut kerana sesi pandu uji yang singkat.
Selain itu, ciri peralatan tambahan yang didatangkan pada varian 1.6T High adalah cangkuk di belakang kerusi depan yang memudahkan ibu menyangkut botol air anak atau bag kecil.
Di bahagian sisi kerusi penumpang depan juga tersedianya pengecas USB jenis A yang tiada pada varian terendah. Namun, kedua-dua varian dilengkapi dengan corong pendingin hawa buat penumpang belakang serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Rekaan konsol tengah tidak begitu sesak dengan butang dan menawarkan pemandu sejumlah kawalan dan tetapan yang baik untuk dipilih. Varian turbo didatangkan dengan transmisi rotary berbanding tombol gear.
Bagaimana dengan ruang meletakkan barang?.
Bagi kami ruang barang agak terhad yang mana keseluruhan barangan kecil anda akan berakhir di bawah ruangan simpanan perehat tangan depan.
Pemegang cawan konsol tengah menawarkan separuh bulatan yang boleh ditarik membentuk pemegang cawan dan disimpan apabila tidak diperlukan, supaya boleh menyimpan barang saiz kecil misalnya kunci atau dompet.
Terdapat satu ruangan meletakkan minuman kecil di setiap sisi pintu dan penyangkut besar pada sandaran kepala tempat duduk depan bagi menyangkut bag mahupun tudung.
Tawaran but adalah luas bagi segmen SUV segmen C yang mana cukup untuk perjalanan jauh atau hujung minggu.
KUASA RESPONSIF ADA PADA ENJIN TURBO
Mempunyai sedikit kuasa pengecas turbo dan fleksibiliti tork memang membantu, terutamanya apabila anda memandu varian terendah Kia Sportage 2.0.
Penghantaran kuasa enjin Smartstream 2.0 liter MPI dengan output 154hp @ 6,200rpm dan tork 192Nm @ 4,500rpm ke roda depan agak lambat. Bahkan, enjin perlu bekerja keras bagi meningkatkan kelajuan.
Raungan enjin dengan jelas boleh didengar dari dalam kabin. Menurut kami, karakter enjin Sportage 2.0 dengan kotak gear 6-kelajuan automatik itu lebih ideal buat pemanduan santai.
Persepsi pemanduan Sportage berubah apabila kami beralih pada varian 1.6T High (177hp/265Nm). Hantaran tork seawal 1,500rpm menawarkan maklum balas enjin yang responsif.
Bagaimanapun sedikit isu dengan transmisi 7-kelajuan DCT (e-shift) yang membuatkan rangkaian kuasa tidak seimbang dan kurang ketenangan.
Ia sering terperangkap di antara operasi putaran rendah untuk menjimatkan bahan api dan bertindak balas kepada input pendikit serta permulaan tork secara tiba-tiba boleh menyebabkan kereta melonjak ke depan dengan kepantasan yang tidak dijangka.
Awalnya kami sedikit terkejut dan perlu memijak pedal minyak dengan lembut di awal pergerakkan. Manakala pada operasi kelajuan rendah boleh menjadi sedikit tersentak.
Bagaimanapun, pengendalian Sportage cukup solid dan meyakinkan di lebuhraya. Olengan badan juga minimum ketika mendaki selekoh bukit Genting Highlands serta tahap kedapan kabin yang senyap.
Selain itu, pedal gear manual di belakang stereng memberikan fleksibiliti yang ingin merasakan sensasi memandu acah kereta manual.
KESIMPULAN
Kia Sportage antara model yang boleh dipertimbangkan oleh golongan ibu mengambilkira beberapa aspek penting yang sering menjadi keutamaan dalam memilih kenderaan keluarga.
Ia boleh menjadi pilihan ibu-ibu yang mencari SUV kompak dan menemani aktiviti sehari-hari, menghantar anak-anak ke sekolah, berbelanja, mahupun melakukan perjalanan jauh.
Ruang kargo yang besar dan fleksibel memudahkan ibu-ibu membawa barang belanja dan perlengkapan anak-anak.