Honda juga tumpu pada hidrogen, perkenal modul sel bahan api generasi baharu

17

Selain Toyota, terdapat beberapa pengeluar yang memberi perhatian mendalam pada teknologi hidrogen seperti Honda, Hyundai dan BMW.

Selepas Honda Clarity Fuel Cell ditamatkan pada 2021 terdapat jurang masa sehingga CR-V e:FCEV diperkenal pada 2024.

Satu yang menarik, CR-V menggabungkan teknologi plug-in dan sel bahan api hidrogen yang membolehkannya dicas seperti kenderaan elektrik (EV).

Honda Clarity Fuel Cell 2016

Kuasa dari bateri atau mod pemanduan elektrik boleh digunakan sehingga 47 kilometer (km) dan pemandu tidak perlu bergantung sepenuhnya pada campuran hidrogen.

CR-V menggunakan modul sel bahan api yang dibangunkan bersama General Motors (GM).

Terbaru Honda memperkenalkan modul sel bahan api generasi baharu yang dibangunkan sendiri. Modul ini lebih cekap, kos lebih rendah dan ketahanan lebih baik.

Tidak terlalu lama, Modul Sel Bahan Api Generasi Baharu Honda akan dikeluarkan pada 2027 manakala Penjana (generator) Kuasa Sel Bahan Api Honda lebih awal iaitu 2026.

Modul baharu ini memiliki kuasa 150 kilowatt (kW) dengan kos pembuatan 50 peratus lebih rendah berbanding model semasa serta ketahanan lebih daripada dua kali ganda.

Selain itu, modul dikecilkan dengan meningkatkan ketumpatan kuasa volumetrik (kW/L) lebih daripada tiga kali dan lebih fleksibel untuk pemasangan.

Spesifikasi Modul Sel Bahan Api Generasi Baharu Honda:

  • Output & Voltan: 150 kW, 450-850V
  • Kecekapan Maksimum: 59.8%
  • Dimensi & Berat: 730 × 580 × 700 mm, 250 kg
  • Kepadatan Kuasa: 0.50 kW/L, 0.60 kW/kg
  • Julat Suhu: Operasi -30℃ hingga +60℃, Penyimpanan -40℃ hingga +60℃
  • Perlindungan & Ketinggian: IP67, altitud maksimum 3,500 m
  • Bekalan Kuasa Rendah: DC24V
  • Komposisi Gas Hidrogen: Setara dengan ISO 14687
  • Standard Komunikasi: ISO11898, protokol SAE J1939 / Honda Hi-Speed CAN (boleh pilih)
  • Kelajuan Komunikasi: 500 kbps

Penjana Kuasa Sel Bahan Api Honda boleh digunakan sebagai sistem storan tenaga pegun untuk kilang, pejabat dan sebagainya.

Penjana ini menggunakan sistem sel bahan api sama seperti Honda CR-V e:FCEV.

Saiz yang kompak disumbang oleh sistem penyejukan dan susun atur dalaman yang dioptimumkan

Penjana ini mudah dipasang mengikut keperluan pelanggan dan berupaya memulakan pembekalan kuasa dalam masa sepuluh saat.

Spesifikasi Penjana Kuasa Sel Bahan Api Honda:

  • Penggunaan: Penjana kuasa sandaran (back up) kecemasan
  • Output & Voltan: Hingga 1,000 kW (4 unit 250 kW bersiri), AC 200-480V, sistem 3-fasa, 4-wayar
  • Piawaian & Masa Mula: ANSI/CSA FC1, IEC 62282-3-100, operasi dalam 10 saat
  • Julat Operasi: Suhu -25°C hingga +45°C, altitud maksima 2,000 m
  • Bunyi & Emisi: ≤76 dBA (@7m), pelepasan sifar (CO₂ & NOx)

Honda sebenarnya telah lama menumpukan pada hidrogen dan lebih 30 tahun di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi hidrogen dan sel bahan api.

Komited dalam teknologi ini, Honda mengenalpasti empat teras yang boleh menggunakan sistem sel bahan api iaitu FCEV, kenderaan komersial dan jentera pembinaan.

Penjana kuasa pegun juga boleh boleh menggunakan sistem sel bahan api.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here