Chery Malaysia bakal buka kilang di Beringin High-Tech Auto Valley, pelaburan mencecah RM2.2 bilion

9

Legenda Beringin Holding Sdn Bhd (Legenda Beringin) dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery Malaysia) menandatangani perjanjian dan mengadakan upacara pecah tanah simbolik bagi Chery Smart Auto Industrial Park. 

Legenda Beringin adalah pemaju utama Beringin High-Tech Auto Valley (Beringin HTA Valley), yang bakal menjadi lokasi pelaburan terbaru oleh Chery Holding Group Co Ltd di Malaysia.

Pencapaian itu adalah langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia dan Selangor sebagai hab pembuatan automotif maju dan inovasi teknologi.

Chery Smart Auto Industrial Park adalah pembangunan fasa pertama dalam ekosistem Beringin HTA Valley yang berkeluasan 800 ekar, membawa teknologi automotif bertaraf dunia ke Hulu Selangor. 

Dengan keluasan 200 ekar, pembangunan ini sejajar dengan visi Beringin HTA Valley untuk membina sebuah bandar bersepadu yang dapat menarik bakat, pelaburan dan inovasi.

Dijangka siap menjelang tahun 2026, Chery Smart Auto Industrial Park akan mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 unit kenderaan setahun dan boleh ditingkatkan kepada 300,000 unit setahun. Projek ini membabitkan pelaburan sebanyak RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun.

Pada masa sama, ia bakal membuka peluang pekerjaan antara 1,500 sehingga 3,000 orang pada fasa pertama. 

Sementara itu, selebihnya tanah di kawasan berkenaan akan diperuntukkan untuk pembangunan lain yang menyokong visi membina hab utama bagi inovasi automotif, rantaian bekalan, latihan vokasional, dan kemajuan teknologi di rantau ini.

Presiden Chery International, Zhang Guibing (dua dari kanan gambar di atas) berkata,  Chery berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan visi ini. 

Menurutnya, ia akan menubuhkan kemudahan pembuatan canggih, mengintegrasikan teknologi pintar terkini, serta menghasilkan pelbagai jenis kenderaan daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada teknologi terkini seperti plug-in hybrid (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV), dan kenderaan cekap tenaga (EEV). 

“Kami yakin bahawa selepas siap nanti, projek ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang canggih.

“Selain itu, akan memperluaskan eksport kenderaan ke negara jiran, mengukuhkan peranan Selangor melalui rantaian bekalan yang kukuh, serta memperteguhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif utama di ASEAN,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Raja Muda Selangor yang juga Penaung Diraja Invest Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here