
Bermula tahun ini, penunggang motosikal akan diharamkan daripada menyertai sesi pemanduan umum (Touristenfahrten) di Litar Nurburgring.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial Facebook, pihak pengendali litar Neraka Hijau itu memetik kebimbangan keselamatan sebagai salah satu sebab larangan tersebut.
“Perbezaan dinamik pemanduan antara kenderaan dua dan empat roda akan menimbulkan risiko salah faham – terutama kepada penunggang motosikal.
“Untuk menjadikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat kepada semua orang, acara pemanduan kereta dan motosikal akan diasingkan pada masa hadapan,” jelas kenyataan tersebut.

Ini bermakna, sesi Touristenfahrten hanya boleh disertai oleh kenderaan beroda empat sahaja.
Pemilik dan penunggang motosikal sebenarnya masih dibolehkan untuk menyertai acara tersebut, namun ia akan dihadkan kepada acara latihan tunggangan yang dibimbing oleh golongan profesional.
Namun begitu, mereka akan dibenarkan untuk menyertai acara tunggangan yang dianjurkan di litar Grand Prix yang lebih pendek jaraknya, namun dengan pengalaman tunggangan yang lebih selamat jika dibandingkan dengan litar Nordschleife.