
Kelab Rasmi Ducati Malaysia (DOCM) menjayakan perhimpunan terbesar Ducati di asia sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelapan, menandakan satu pencapaian penting dalam legasi kelab sejak penubuhannya pada 2016.
AGM itu menghimpunkan ahli DOCM dan peminat tegar Ducati untuk membincangkan pencapaian kelab, hala tuju serta inisiatif masa depan. Ahli DOCM menjangkau seramai 1,600 orang bernaung dibawah 13 bahagian, masing-masing mewakili kawasan dan model Ducati.
Satu sorotan utama AGM tahun ini ialah pengumuman Petronas Sprinta sebagai rakan strategik utama DOCM bagi 2025, kerjasama menarik yang akan meningkatkan lagi taraf DOCM, selain memperkukuhkan kedudukannya sebagai komuniti Ducati terkemuka di Malaysia dan Asia.
Presiden DOCM 2025, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, kelab itu terus berkembang sebagai komuniti penunggang Ducati yang unggul di Malaysia, hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada ahli dan rakan kongsi.
“Kami komited untuk terus membangunkan kelab ini, memperkukuh semangat kekeluargaan, serta mempromosikan pengalaman menunggang yang selamat dan mengujakan untuk peminat Ducati,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Perhimpunan Tahunan itu berjaya mengumpulkan sebanyak 301 buah motorsikal jenama Ducati pelbagai model.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia, Zameer Zahur Hussain berkata, pihaknya gembira dan teruja untuk bekerjasama dengan DOCM dan menjadi rakan utama mereka untuk tahun 2025.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kehadiran jenama kami dalam komuniti dua roda tempatan dan menunjukkan kualiti unggul produk PETRONAS Sprinta.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyokong komuniti Ducati sambil memperkukuhkan penembusan produk buatan Malaysia kami di pasaran domestik,” katanya.