
Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan tempoh kesesakan waktu puncak di Tambak Johor sehingga 70 peratus sebagai persediaan menyambut pengunjung antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Makhzan Mahyuddin berkata bagi mencapai hasrat itu, 50 inisiatif telah dirancang menerusi empat fasa sejak 2019 yang kini 58 peratus siap.

“Sebelum ini, waktu puncak kesesakan bermula antara 3.45 hingga 4.30 pagi, kini kesesakan sudah berganjak kepada 6.30 pagi.
“Jika sebelum ini tempoh individu untuk melepasi prosedur di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) mencapai hingga tiga jam, kini kurang sejam.
“Kita yakin apabila lebih banyak inisiatif termasuk jangka pendek, sederhana dan panjang selesai, tempoh yang diperlukan akan lebih singkat,” katanya.
Beliau berkata antara perubahan yang dilaksanakan KDN untuk memendekkan tempoh kesesakan waktu puncak adalah menambah kaunter yang menggunakan aplikasi kod respons pantas (QR) melibatkan semua mod pengangkutan iaitu motosikal, bas dan kereta.
“Ketika ini lapan kaunter keluar dan lapan kaunter masuk motosikal telah menggunakan kod QR selain dua kaunter bagi pengangkutan bas, jadi kita mahu tingkatkan penggunaan sistem berkenaan melibatkan semua kaunter,” katanya.
Beliau berkata perkara itu akan diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Kuala Lumpur pada 3 Mac depan.
Antara 29 daripada 50 inisiatif yang telah disiapkan iaitu penggantian mesin pengimbas Kastam Diraja Malaysia, laluan kontra di laluan masuk, penambahbaikan sistem elektrik BSI serta pembayaran tol dan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di lokasi sama.
BSI yang berkeluasan 232,237 meter persegi merupakan kompleks CIQ terbesar di Malaysia dan pada 20 Dis 2024, kompleks itu merekodkan jumlah pergerakan harian pelawat tertinggi sebanyak 375,828 orang.