
Beberapa tahun yang lepas, Toyota ada memperlihatkan model konsep crossover elektrik yang dikenali dengan nama bZ Compact SUV.
Dalam satu pengumuman yang baharu sahaja dibuat, Toyota mengesahkan versi produksi kepada bZ Compact SUV itu akan didedahkan secara rasmi pada 11 Mac ini.
Berdasarkan siluet gambar acah yang dibekalkan, ia dilihat membawakan bentuk badan crossover dengan rekaan bumbung fastback, serta garis bahu dan fender hadapan yang lebih menonjol.
Toyota turut menjanjikan model produksi kepada bZ Compact SUV ini dengan dinamik pemanduan yang dipertingkatkan, selain menawarkan keselesaan, ruang dan versatiliti yang tersendiri.
Tiada sebarang nama didedahkan buat masa ini, namun Toyota sudah pasti tidak akan menggunakan kembali nama bZ seperti bZ4X dan bZ3 sedia ada.
Ini kerana Toyota telah pun menggugurkan format tersebut dan akan digantikan dengan sesuatu yang lebih masuk akal.
Lebih banyak perincian akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mac ini.