Mengapa GWM Haval H6 HEV pilihan terbaik untuk Aidilfitri, Ini 5 keistimewaan yang perlu anda tahu!

9

Sekarang ini tidak susah untuk mendapatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kerana terdapat begitu banyak pilihan di pasaran.

Sebut saja dari negara mana, tempatan, Jepun, Eropah dan China dan masing-masing dihidangkan dengan keistimewaan tersendiri.

Dari kemeriahan tersebut, jenama China semakin hangat di pasaran dengan pakej dan harga yang begitu berdaya saing.

Buktinya lihat saja jumlah kenderaan dari China yang banyak di atas jalan raya mahu pun di halaman rumah.

Mungkin ada yang masih ragu-ragu namun jenama seperti GWM Haval bukan asing kerana sudah bertapak di dalam negara dan lebih awal berbanding jenama lain yang baru muncul.

Haval juga berani untuk memikat pelanggan dan tahukah anda? SUV H6 HEV diberi jaminan selama tujuh tahun atau 200,000 kilometer (km)! Satu tempoh yang panjang.

Satu lagi, H6 HEV bukan diimport dari China tetapi dipasang di Melaka dan ditawarkan pada harga yang cukup menarik.  

Ada beberapa lagi keistimewaan Haval H6 seperti berikut:

  1. Reka bentuk bergaya

Kereta dari China biasanya ‘sepesen’ dengan reka bentuk bergaris atau futuristik. Haval H6 pula lebih bersifat generik dan lembut di mata.

Walaupun begitu, bukaan jeriji yang lebar dan besar dan dipanggil Star Matrix menampakkan sisi garang H6 HEV.

Dari segi saiz, H6 HEV lebih besar daripada SUV ala Inggeris dan langsing Jaecoo J7 PHEV.

H6 HEV berukuran panjang 4,638 milimeter (mm), lebar 1,886 mm, tinggi 1,730 mm dan jarak roda 2,738 mm.

J7 PHEV pula berukuran panjang 4,500 mm, lebar, 1865 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak roda 2,672.

Daripada ukuran tersebut, jarak roda H6 HEV memberikan ruang dalaman lebih luas malah lebih panjang daripada Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Walaupun memiliki fizikal yang besar, urusan parkir lebih mudah melalui kamera 360 darjah dengan Fungsi Casis Transparen yang menampakkan bahagian bawah H6.

Rekaan dalaman H6 HEV tampil kemas tanpa unsur-unsur yang menyerabutkan mata selain nampak mewah dan bermutu.

Papan pemuka mempunyai dua skrin iaitu 10.25 inci digital untuk pemandu dan 12.3 inci jenis sentuh pada tengah papan pemuka.

Lebih canggih, pemandu boleh membaca maklumat dari sistem papar pandu (HuD).

Untuk keselesaan, kerusi depan mempunyai fungsi pengudaran. Sistem Pembersih Udara Ion Negatif menapis kotoran untuk udara dalaman lebih bersih.

Suasana yang tenang ditambah dengan bumbung kaca panoramik dan turut dilengkapi pengecas tanpa wayar Qi dan pelbagai lagi. Tombol gear berputar nampak menarik!

Ruang bagasi untuk berjalan bersama keluarga atau pulang ke kampung sempena Aidilfitri sebesar 560 liter dan sekali lagi lebih besar daripada Jaecoo J7 PHEV dengan 500 liter.

Lipatan kerusi belakang untuk memuatkan basikal dan pelbagai lagi barangan menyediakan ruang sebesar 1,485 liter.

  1. Enjin hibrid berkuasa 243 ps, 530Nm, setangki lebih 1,000 km!

Sebagai HEV, rangkaian kuasa H6 menggabungkan enjin 1.5 liter turbo, motor elektrik dan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan yang dibangunkan sendiri GWM.

Enjin petrol turbo menghasilkan 150 ps dari 5,500 sehingga 6,000 rpm dan 230Nm dari 1,500 sehingga 4,000 rpm.

Motor elektrik memiliki kuasa 130 kW (177 ps) dan 300Nm. Gabungan ini menghasilkan 243 ps dan daya kilas setinggi 530Nm!

Berat H6 HEV lebih daripada 1,700 kilogram (kg) namun pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya memerlukan 7.7 saat dan lebih tangkas daripada CR-V.

Walaupun bertenaga, mungkin ada yang membandingkannya dengan jentera hibrid atau PHEV lain namun H6 menang pada harga yang lebih rendah.

Selain itu, sistem hibrid tidak serumit PHEV selain perlu membawa bateri lebih berat.

Pemilik juga tidak perlu susah-susah mengecas dan merancang perjalanan seperti kenderaan elektrik.

Seperkara lagi yang ingin dikongsi, H6 sebagai HEV bermakna motor elektrik berfungsi sebagai penggerak utama.

Kuasa diagihkan kepada roda melalui DHT dan enjin hanya berfungsi pada kelajuan lebih tinggi.

Pertukaran di antara motor elektrik dan ICE dibuat secara automatik dan bergantung pada keadaan.

Bagaimana pula dengan penggunaan bahan api? Sebagai HEV semestinya menjimatkan.

Di atas kertas Haval memaklumkan kadar penggunaan bahan api adalah 5.8 liter per 100 km (gabungan).

Mungkin ada yang mahukan bukti nyata. Bukan sembang tetapi Erywan selaku wakil Motoqar telah diberi peluang untuk memandu uji.

Beliau bermula dari Kuala Lumpur, pusing-pusing sepanjang perjalanan sehingga ke Kuala Terengganu dan patah balik semula ke Kuala Lumpur.

Lebih jelas, beliau telah merakamkan vlog ‘road trip’ tersebut.

Satu yang mengujakan apabila perjalanan selama dua hari dengan satu tangki petrol dengan kapasiti 61 liter berjaya membawa beliau sehingga 1,011 km!

Jika rekod Erywan itu sudah bagus, ada lagi yang lebih hebat. Koh Hui Min dari Kelantan berjaya memandu sehingga 1,204 km! Pencapaian luar biasa.

Penjimatan petrol boleh digunakan untuk memberi lebih banyak duit raya di Aidilfitri nanti.

  1. Tempoh jaminan

Tidak dinafikan ada yang skeptikal apabila bercakap tentang kenderaan hibrid. Maklumlah, enjin pembakaran dalaman (ICE) digabung bersama perkakasan elektrik.

Ciri-ciri tersebut ditimbal balas dengan kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah berbanding ICE tunggal. Lebih mengujakan apabila harganya setara SUV dengan ICE.

Satu kelebihan H6 yang disebut-sebut adalah pakej jaminan yang ditawarkan seperti berikut:

  • Jaminan pengilang: 7 tahun atau 200,000 km
  • Enjin: 10 tahun atau 1 juta km
  • Sistem hibrid: 8 tahun atau 1 juta km

Pakej ini dapat memberikan ketenangan minda pada pemilik dan menunjukkan Haval sendiri percaya kepada produk yang dijual.

  1. Kos penyelenggaraan

Satu perkara yang perlu diberi perhatian semasa membuat keputusan pembelian kenderaan adalah kos ‘membela’ atau menyelenggara.

H6 HEV hanya perlu diselenggara setiap 12 sebulan atau perbatuan tertentu sehingga ke bulan 60 atau 70,000 km.

Kos untuk 10,000 km pertama hanya berjumlah RM425.50. Kunjungan ke pusat servis Haval berikutnya pada bulan ke-24 atau 25,000 km.

Dalam tempoh pemilikan selama lima tahun atau sehingga 70,000 km, pemilik hanya perlu membayar RM 3,681.50 dan boleh dikatakan berpatutan.

Daripada jadual berkala tersebut, kos paling mahal tidak mencecah RM1,000.

  1. Harga menarik!

Secara jujur harga H6 HEV tidak boleh dibandingkan dengan jenama kebangsaan dan perlu diletakkan dengan jenama antarabangsa lain terutama sekali dari negara asal.

Harga yang ditawarkan tidak sampai malah jauh daripada RM150 ribu. Lebih tepat RM139,800 untuk sebuah SUV hibrid segmen C dengan pakej jaminan menarik.

H6 HEV juga dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan enam radar di depan dan enam di belakang.

Sistem ADAS Tahap 2 merangkumi Kawalan Suai Pandu, Amaran Pelanggaran Depan (FCW + AEB), Amaran Pelanggaran Belakang, Amaran Penukaran Lorong (LDW) dan banyak lagi.

Dengan segala pakej dan saiz lebih besar daripada pesaing senegara, Haval H6 HEV ditawarkan pada harga yang menarik.

Akhir kata, kenapa perlu bayar lebih?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here