
Pejabat Peguam Negara (AGO) mengesyaki Pertamax telah dicampur dengan Pertalite bagi kes rasuah pengurusan produk minyak mentah dan penapisan di Subholding PT Pertamina dan Kontraktor Kontrak Kerjasama (KKKS) pada 2018 hingga 2023.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, PT Pertamina Patra Niaga disyaki membeli Pertalite (RON90) yang kemudian dicampur menjadi Pertamax (RON92). Pada masa pembelian, RON90 dibeli pada harga RON92.
“Dalam pemerolehan produk kilang PT Pertamina Patra Niaga, tersangka RS (Riva Siahaan) melakukan pembelian (pembayaran) untuk RON92 sedangkan dia membeli RON90 ke bawah dan kemudian mencampurnya di depoh menjadi RON92 dan ini tidak dibenarkan,” kata kenyataan tersebut.
Bekas Ketua Suruhanjaya Advokasi Badan Perlindungan Pengguna Kebangsaan (BPKN), Rolas Sitinjak berkata mengikut Undang-undang Nombor 8 Tahun 1999 tentang Perlindungan Pengguna, penjual perlu memberikan maklumat yang jelas kepada konsumer.
Tambahnya, rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan menerusi Pertamina bagi memenuhi keperluan bahan api (BBM) tetapi berlakunya rasuh di salah sebuah anak syarikat pembekal bahan api ini.
“Dalam pemikiran masyarakat, negara harus dipercayai 100 peratus. Kalau bukan negara, siapa lagi yang akan dipercayai. Jika dia melakukan penipuan publik, itu maut,” katanya.
DUA SUSPEK BARU DITAHAN

Susulan pendedahan berkenaan, pihak AGO mendedahkan peranan dua suspek baharu yang memiliki kaitan dengan tujuh suspek dalam kes dakwaan rasuah pengurusan minyak tersebut.
Dua suspek baharu itu adalah Pengarah Pemasaran Pusat dan Perniagaan Pertamina Patra Niaga, Maya Kusmaya dan Naib Presiden Operasi Dagangan Pertamina Patra Niaga, Edward Corne.
Pengarah Siasatan Jampidsus Kejaung, Abdul Qohar berkata kedua-dua suspek membeli RON90 ke bawah pada harga RON92 dengan persetujuan suspek RS.
“Ini menyebabkan pembayaran barangan import kilang pada harga yang tinggi tidak mengikut kualiti barangan tersebut.
“Suspek MK memerintahkan dan memberi persetujuan kepada suspek EC untuk mencampurkan produk kilang jenis RON88 (premium) dengan RON 92 (pertamax) di terminal (penyimpanan) PT Orbit Terminal Merak milik tersangka MKAR dan tersangka GRJ atau dijual dengan harga RON92.
“Ini tidak mengikut proses perolehan produk kilang dan perniagaan teras PT Pertamina Patra Niaga,” katanya.
Kemudian, Maya dan Edward membayar import produk kilang menggunakan kaedah spot atau direct appointment (harga yang berkuat kuasa ketika itu).
Seharusnya, kaedah pembayaran digunakan ialah pemilihan terma atau terus (masa hadapan) sehingga harga yang berpatutan diperolehi. Akibatnya, PT Pertamina Patra Niaga membayar harga yang tinggi untuk produk kilang yang diimport kepada rakan niaga atau DMUT.
“Suspek MK dan EC tahu dan bersetuju dengan mark-up kontrak penghantaran yang dilakukan suspek YF selaku Presiden Pengarah PT Pertamina International Shipping, sehingga PT Pertamina Patra Niaga mengeluarkan bayaran 13 peratus hingga 15 peratus bertentangan dengan undang-undang,” kata Abdul Qohar.
Kini, AGO telah menetapkan sembilan orang sebagai suspek. Tujuh suspek yang dikenal pasti sebelum ini terdiri daripada empat pegawai Pertamina dan tiga pihak swasta.
Susulan kes rasuah itu, kerajaan menanggung kerugian IDR193.7 trilion (RM53 bilion).
MASIH BERKUALITI
Sementara itu, Tempo melaporkan Presiden Pengarah PT Pertamina (Persero), Simon Aloysius Mantiri menegaskan RON92 menepati piawaian kualiti ditetapkan Pengarah Minyak dan Gas Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM).
Simon mendakwa kesemua produk bahan api Pertamina dipantau rapi oleh Kementerian ESDM melalui Pusat Pengujian Minyak dan Gas bagi memastikan kualiti optimum.
“Kami memastikan operasi semasa Pertamina berjalan lancar, mengoptimumkan perkhidmatan secara berterusan, dan mengekalkan kualiti produk bahan api untuk orang ramai,” kata menerusi kenyataan rasmi.
Berhubung siasatan AGO terhadap isu rasuh pengurusan minyak tersebut, Simon menyatakan Pertamina menyokong penuh proses perundangan yang sedang berjalan.
Beliau juga memberi jaminan bahawa siasatan tidak akan mengganggu operasi syarikat dalam menyediakan bahan api untuk orang ramai.