
Sistem Transit Aliran Ringan 3 (LRT) dijangka akan mula beroperasi pada 30 September 2025.
Menurut laporan Harian Metro, LRT3 yang menghubungkan Shah Alam ke Bandar Utama itu akan bermula selepas projek itu diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia pada 31 Julai ini.
Setakat ini, kemajuan keseluruhan projek itu mencapai 98.16 peratus berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan (MOT) yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan dilakukan dalam dua peringkat bagi memastikan perkhidmatan LRT3 selamat untuk pengguna.
“Dua ujian ini yang merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan ‘Trial Run’ (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian ‘Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.
“Anggaran tempoh pengujian adalah selama 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berdasarkan aspek-aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api yang tertentu,” jelas MOT.
Ujian TR/FFR pula dijangka akan bermula pada pertengahan April 2025 dan selesai menjelang akhir Jun 2025.
Selepas itu, Rapid Rail akan menjalankan ujian operasi (TO) dengan anggaran tempoh pengujian adalah selama 60 hari bermula Julai 2025 hingga akhir Ogos 2025.