Tujuh warga Indonesia didakwa curi di pelantar minyak

14

Tujuh lelaki warga Indonesia dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis, atas pertuduhan mencuri di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni dalam perairan negara, minggu lalu.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkan 28 April depan bagi proses melantik jurubahasa Indonesia serta laporan kimia analisis cap jari bagi kesemua tertuduh.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan mereka adalah warganegara asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Izani Nashtasya Isa, sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menahan tujuh lelaki berkenaan pada 20 Februari lalu selepas mereka disyaki menceroboh dan mencuri di pelantar minyak terletak kira-kira 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid, pihaknya menerima maklumat berhubung pencerobohan itu daripada syarikat cari gali minyak tempatan pada jam 1.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut membawa kepada tangkapan suspek yang bersembunyi di ruang ventilasi pelantar minyak berkenaan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here